suria

Seksi Dan Adegan Panas Mimifly

SETIAP kali menyaksikan kelincahan si bunga kumpulan One Nation Emcees (ONE), Mimifly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham ini, pasti banyak mata akan terpukau dengan kelincahan gerak tarinya.

Malah setiap tarian yang dilakukannya membuat para penonton juga berasa ingin menari seperti dia. Dan seperti biasa, Mimi yang akan lebih menyerlah berbanding dua rakannya iaitu Jojofly (Nur Hasan Balas) dan Zydee (Mohd Norzaidi Edris).

Kata Mimi, dia mengakui dirinya seperti sebuah patung yang akan menarik perhatian orang ramai.

“Memang dalam kumpulan ini saya yang akan jadi patungnya. Tapi setiap daripada kami mempunyai kelebihan masing-masing dalam menarik perhatian masyarakat untuk meminati muzik-muzik kami,” tuturnya tersenyum.

Kelincahan tariannya ketika membuat persembahan juga menampakkan imej seksi turut muncul dalam diri wanita berusia 25 tahun ini. Justeru itu, Mimi dilabel sebagai penyanyi yang bergaya seksi di atas pentas walaupun cara pemakaiannya tidaklah terdedah.

“Saya tolak tanggapan sesetengah orang bahawa cara pemakaian yang menunjukkan keseksian seseorang itu. Bagi saya, seksi itu sangatlah subjektif. Rasanya, wanita yang bijak, berkeyakinan tinggi dan pandai berdikari adalah seksi,” tegasnya yang selesa berpakaian sederhana tanpa mengikuti perkembangan fesyen terkini.

Bagaimanapun katanya, cara pemakaian juga memainkan peranan yang tinggi untuk menampakkan seseorang itu berkeyakinan dengan imej yang ditampilkan.

Lebih-lebih lagi apabila dia seorang sahaja wanita dalam ONE, Mimi akan memastikan cara pemakaiannya dapat mewakili kumpulan itu.

“Rasanya, saya bergaya seksi dengan cara yang tersendiri dan imej yang dibawakan juga menunjukkan kehebatan wanita dalam kumpulan kami. Ya, harus diakui, saya agak cerewet dalam pemilihan pakaian apabila mahu mewakili ONE,” katanya.

Saling memerlukan

Bukan mudah untuk bekerja dalam sesebuah kumpulan jika tidak ‘sekepala’ lebih-lebih lagi dalam membuat sesuatu keputusan. Bagi Mimi, tiga tahun bersama ONE, dia banyak mempelajari cara bekerja dalam sebuah kumpulan dan hal ini membuatkan dia begitu sayangkan kumpulan tersebut.

“ONE bukannya sempurna, tapi kami saling memerlukan. Saya suka apabila ada orang yang sama-sama risau tentang perjalanan karier dan ini membuatkan kami bersatu untuk meningkatkan kualiti kerja masing-masing.

“Ya, diakui agak susah juga mahu kekal dalam kumpulan tetapi kesusahan berlaku kerana kami mempunyai pendapat kreatif masing-masing. Dan pada penghujungnya, idea-idea kreatif itu akan bergabung menjadi satu,” katanya.

Pernah juga Mimi terfikir untuk bergerak secara solo, namun dia tahu, tanpa ONE, tidak mungkin dia memperoleh kejayaan muzik seperti yang dimiliki sekarang.

“Tapi jika benar saya ingin bergelar penyanyi solo, ONE perlu sukses terelebih dahulu kerana kejayaan menerusi kumpulan ini akan menunjukkan sejauh mana saya dapat pergi jika menyanyi sendirian.

“Apa-apa pun kami ingin memperjuangkan muzik Melayu urban untuk diperdengarkan kepada semua dan kalau boleh ONE mahu pergi jauh sehingga ke luar negara,” ujarnya ringkas.

Adegan panas

Mengenai filem terbaru, Klip 3GP, yang akan ditayangkan pada 13 Oktober ini, bukan Mimi sahaja yang membintangi filem tersebut.

Malah, Jojo dan Zydee turut memainkan peranan dalam kisah tentang video lucah yang disebarkan menerusi Internet.

“Ini merupakan filem pertama kami dan ia adalah satu pengalaman besar buat kami yang tidak tahu apa-apa tentang dunia perfileman dan lakonan.

“Lebih-lebih lagi watak saya sebagai Maya seorang wartawan yang menjadi mangsa ugutan seorang rakan berhubung satu rakaman hubungan sulit. Manakala Zydee dan Jojo pula merupakan dua rakan yang nakal di mana mereka suka ‘skodeng’ dan mengambil video-video lucah.

“Ya, terdapat beberapa adegan panas dalam filem ini, tetapi saya gembira kerana ONE telah memberikan komitmen 100 peratus dalam menjayakan Klip 3GP,” katanya.

Mimi juga bersedia menerima kritikan daripada peminat-peminatnya lebih-lebih lagi jika mereka tidak sukakan watak yang dibawa.

“Dalam filem ini, saya telah berusaha sebaik mungkin untuk menjayakan watak Maya. Dan harus diakui, adegan-adegan panas semestinya akan menjadi perhatian dan kritikan banyak pihak.

“Tapi saya lebih rela dikecam seandainya lakonan saya benar-benar menjadi berbanding sekiranya saya dipanggil sebagai pelakon “kayu”.

“Walaupun susah untuk menghayati watak, saya gembira dengan krew dan pelakon-pelakon lain yang memberikan tunjuk ajar lebih-lebih lagi Jojo dan Zydee,” tuturnya.

Pendapat Jojo dan Zydee tentang Mimi:

- Gemar menggayakan rambutnya.

- Risau dengan berat badan sendiri.

- Gemar berlatih vokal.

- Seorang yang berdikari.

- Menari merupakan sebahagian aktiviti hariannya .

- Bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara.

- Prihatin terhadap rakan-rakan ONE.

Foto SAUFI NADZRI Solekan ANDAMAN ADREEN (016 2179890)

* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain