suria

'Sampaikan Salam' Uji Kehebatan Alleycats

AURA nama kumpulan Alleycats terserlah di mana-mana. Nampak sahaja kelibat penyanyinya, Datuk David Arumugam dengan rambut afro membuatkan ramai orang yang menegur dan mengambil peluang untuk merakamkan gambar tanpa mengira bangsa dan usia.

Pada pendapat David, kegilaan peminat terhadap mereka kerana golongan itu lebih mudah menerima lagu-lagu Alleycats dan diminati sehingga sekarang kerana liriknya yang mudah, menyentuh perasaan dan mempunyai kaitan dengan kehidupan sesiapa sahaja.

Kumpulan yang turut dianggotai oleh Glen Salay, Jimmy Loh, Din Nazaruddin, Mike Aroonratana dan David John ini masih mengekalkan populariti mereka sejak ditubuhkan 43 tahun lalu dan telah menghasilkan 30 buah album.

Bagi mengubat kerinduan para peminat yang jarang bertemu dengan Alleycats, mereka berpeluang menonton "Konsert Sampaikan Salam Alleycats" yang akan berlangsung pada 16 hingga 18 September ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Kali kedua membuat persembahan di Istana Budaya selepas tahun 2008, David akui teruja dan menjangkakan konsert itu akan menjadi persembahan yang menarik.

"Konsert ini terbahagi kepada tiga segmen iaitu segmen berkonsepkan 1Malaysia. Saya akan menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil dengan iringan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya.

"Segmen kedua adalah 'Tribute To Loga' yang mana saya, Glen dan anak Loga iaitu Dasha akan menyanyikan lagu-lagu popular penyanyi itu seperti Suratan, Jika Kau Bercinta Lagi dan Berjuta Batu.

"Untuk segmen terakhir saya akan menyanyikan lagu-lagu popular saya dalam bentuk medley sehingga konsert ini selesai selama dua jam. Untuk melebihkan masa kepada nyanyian, saya akan mengurangkan sesi berinteraksi dengan peminat," ujarnya lagi tentang konsert anjuran Aktif Mestika (AM) Event Management itu.

Memandangkan banyak lagu popular Alleycats yang bakal dinyanyikan, David dan pengarah muzik konsert itu, Eddie Marzuki menetapkan untuk menyanyikan tiga hingga empat buah lagu yang berlainan pada setiap malam.

"Saya mengalu-alukan kedatangan peminat kerana saya akan menyanyikan lagu-lagu yang berlainan pada setiap malam.

"Saya juga akan menjadikan konsep konsert ini lebih santai dengan membuka peluang kepada peminat memilih lagu permintaan manakala rekaan set dan prop yang lebih retro juga akan memberikan satu pengalaman konsert yang berlainan dari konsert sebelum ini," jelasnya.

Bagi merancakkan lagi promosi konsert ini, pihak penganjur turut memberi diskaun kepada penonton yang membeli tiket nanti. Peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245, RM305 dan RM450 dengan menghubungi www.ticket2u.biz di talian 03-41478600.

Sebanyak RM5 daripada harga jualan tiket akan disumbangkan kepada Majlis Kanser Nasional (Makna).

* Artikel ini dipetik dari Mingguan mStar yang diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain