suria

Pelakon Ruminah Sidek Dihalau Dari Rumah Sendiri

Ruminah Sidek sewaktu menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 pada tahun 2008.
Ruminah Sidek sewaktu menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 pada tahun 2008.
Ruminah Sidek sewaktu menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 pada tahun 2008.

KUALA LUMPUR: Pelakon Ruminah Sidek atau Mak Mah, 65, menyambut Syawal pada tahun ini dengan kesedihan apabila dia dihalau keluar dari rumah miliknya di Meru, Klang gara-gara masalah hak milik tanah.

Kata Ruminah, rumah yang didirikan hasil titik peluh duit lakonannya itu dibina atas tapak tanah milik ibu mertuanya sejak 2004 dan terpaksa dikosongkan selepas salah seorang saudaranya mengarahkan dia berbuat demikian.

“Rumah itu mempunyai kenangan bersama arwah suami saya. Saya dihalau keluar kira-kira pukul 2 pagi pada dua bulan lalu memandangkan saya tiada hak ke atas tanah berkenaan,” katanya ketika ditemui di Saloma Bistro, Jumaat.

Jelas Ruminah, dia bernasib baik kerana anak sulungnya Azlan Aman Ramlie datang membantu dengan mengambilnya pada hari kejadian.

Katanya, dia amat sedih dengan kejadian tersebut memandangkan rumah berkenaan dibina dengan pendapatannya menerusi wang lakonan filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak.

Biarpun menerima ujian yang hebat, pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 itu menerima ujian berkenaan dengan tabah.

“Tahun ini saya diuji Allah dengan hebat dan saya sendiri tidak menyangka dalam usia 65 tahun ini, Allah masih menguji saya seperti ini. Tetapi saya reda dengan setiap ujian dan yakin pasti ada hikmahnya,” ujarnya lagi.

Ibu kepada pelakon dan pengarah Adlin Aman Ramlie ini berharap Allah akan memudahkan setiap urusannya selepas ini dan berhasrat untuk membina sebuah rumah lain.

“Selepas ini saya akan membina sebuah rumah baru dan berazam untuk mempunyai rumah sendiri sebelum meninggal dunia,” katanya yang bakal menjalani penggambaran sebuah telefilem dengan Suhan Movies pada 23 Ogos ini dan berlakon di bawah arahan sutradara Erma Fatima.

Pelakon filem Pensil dan Magika ini juga baru ditawarkan untuk berlakon di bawah syarikat produksi baru mengenai kisah orang Jawa yang memerlukannya bertutur dalam bahasa Jawa.

Bercerita tentang Hari Raya Aidilfitri, Ruminah dijangka akan beraya di rumah anak sulungnya di Bukit Kapar, Klang pada Hari Raya pertama.

Hasil perkahwinannya dengan tiga orang suami termasuk pelakon A.R. Tompel, dia dikurniakan enam orang anak, lebih 20 orang cucu dan enam orang cicit.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain