suria

Mizz Nina Sudah Pandai Memasak - Noh

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh Salleh gembira dengan kehidupan barunya sebagai suami kepada penyanyi Mizz Nina, lebih-lebih lagi isterinya itu rajin memasak.

Kata Noh, selepas pulang daripada berbulan madu di beberapa negara Eropah pada awal bulan ini, Nina mula mempelajari pelbagai jenis masakan.

"Setakat ini, Nina dah mula memasak makanan kegemaran saya iaitu ayam masak kicap dan sambal tumis.

"Biasalah mula-mula masak, ada kurang sana sini dan masin sikit. Setakat ini, dia mengambil 'jalan selamat' dalam menu masakannya. Apa-apa pun, saya suka!" selorohnya.

Selain itu, bercerita mengenai pertama kali berpuasa bersama Nina, kata Noh dia berasa seronok berbanding ketika pada zaman bujangnya yang kerap bersahur dan berbuka puasa di studio sahaja.

"Biasalah, masa zaman bujang dulu, makan minum kita tak jaga sangat. Memandangkan saya sentiasa tak tidur malam, waktu malam selalunya sudah jadi seperti waktu sahur.

"Bila dah beristeri, barulah saya rasa pengalaman yang lain dan sentiasa pulang ke rumah secepat mungkin untuk makan bersama," ujarnya.

Sementara itu, Noh memberitahu, selepas pulang daripada berbulan madu, dia dan Nina terpaksa mengemas rumah apabila melihat baju-baju perkahwinan mereka merata-rata.

"Selepas melihat baju-baju kahwin yang merata itu, barulah kami sedar, banyak juga baju yang digunakan sepanjang majlis pernikahan dan resepsi diadakan bulan lepas.

"Sampaikan kami terfikir, mungkin kena jual beberapa daripadanya kot," seloroh Noh lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain