suria

Shuib Gembira Siti Sarah Mengandung Bayi Lelaki

KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Sarah Raisuddin memberitahu, suaminya Shahmira Muhahamad atau Shuib amat gembira selepas mengetahui bayi yang di kandungnya merupakan bayi lelaki.

Sarah berkata, mereka mendapat berita itu selepas disahkan doktor ketika melakukan pemeriksaan perubatan terhadap kandungan yang berusia enam bulan itu Selasa lalu.

“Shuib amat gembira bila dapat tahu saya mengandungkan bayi lelaki. Sebabnya dia memang idamkan anak pertama dalam hidup kami ialah anak lelaki,” katanya yang ditemui semasa rakaman Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Menurut Sarah, sebagai bakal ibu dia tidak kisah mengenai jantina anaknya dan sentiasa memberi nasihat kepada Shuib agar tidak terlalu mengharap untuk memperoleh anak lelaki.

Katanya, mungkin terlalu menginginkan zuriat berkenaan, akhirnya Allah memperkenankan doa suaminya itu.

“Saya tak kisah nak dapat anak lelaki atau perempuan tetapi Shuib yang begitu menaruh harapan tinggi untuk melihat zuriat pertama kami ialah lelaki. Syukurlah... Allah makbulkan permintaannya dan dia amat gembira,” katanya.

Sarah yang di jadual bersalin pada awal Disember depan berkata dia tidak menghadapi sebarang masalah atau mengidam perkara yang pelik sepanjang mengandung anak sulungnya itu.

Sebaliknya kata Sarah dia tidak boleh menikmati makanan yang sama setiap hari kerana cepat menjadi muak dan termuntah.

“Contohnya kalau hari ini saya makan ikan sardin, esok saya dah tak boleh pandang ikan sardin lagi. Kalau tidak, saya akan jadi mual. Itu sahajalah perkara pelik yang saya alami sepanjang kandungan saya berusia enam bulan ini,” katanya.

Menurut Sarah dia belum bersedia membeli kelengkapan bayi walaupun selepas mengetahui jantina bayinya itu tetapi mahu menunggu kandungannya berusia sembilan bulan.

Sementara itu Sarah menambah dalam tempoh mengandung selama enam bulan itu dia berjaya merakamkan lagu duet bersama Shiub dengan tajuk “Cinta Itu Nyawa” yang di jadual diedarkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Lagu ciptaan Aidit Alfian dan lirik oleh AD Samad itu kata Sarah menceritakan kisah benar mengenai percintaannya dengan Shuib sebelum ini.

“Mula-mula perkenalan saya dengan Shuib, saya buat keputusan untuk tidak menerima cintanya tetapi dia tetap berusaha untuk mendapatkan saya sehinggalah terbit kata-kata “cinta itu nyawa” daripada mulut dia,” katanya.

Menurutnya dia menyanyikan lagu itu dengan penuh perasaan dalam keadaan berbadan dua selepas memikirkan perjalanan cintanya dengan anggota kumpulan Sepah itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain