suria

Sara Ali Selesa Tanpa Mekap

SEKALI pandang, suara dan karakter pelakon Sara Ali, 21, (gambar) saling tak tumpah seperti pelakon terkenal Sharifah Amani.

Bagaimanapun, wanita kecil molek ini hanya tersenyum dan tergelak kecil saat dikatakan seperti itu.

Malah dia tidak menafikan ramai juga yang menegur perlakuan dan gerak-gerinya itu. Lantas sengaja diusik, bagaimana jika mereka berdua bertemu?

“Sebelum ini saya tak pernah bertemu dengan Sharifah Amani tetapi andai kata suatu hari nanti kami bertemu, mungkin saya akan mendiamkan diri dan hanya memerhatinya dari jauh,” jawabnya spontan kepada OopStarz!.

Sara mula dikenali menerusi filem Penunggu Istana dan Nur Kasih The Movie yang telah ditayang di pawagam.

Bagaimanapun, menurut gadis berasal dari Batu Pahat, Johor ini, dia memulakan karier lakonan dengan filem Sesuatu Yang Tertinggal setelah menjalani uji bakat di syarikat produksi Grand Brilliance Sdn Bhd.

Melihat gayanya yang berambut panjang mengurai, siapa yang tidak tertarik dengannya lebih-lebih lagi menatap mata galak Sara yang bisa mencairkan hati mana-mana lelaki.

Berkongsi tentang penjagaan kecantikan, wanita ini bukanlah seorang yang terlalu cerewet dan lebih bersikap sederhana.

“Saya menggunakan pencuci muka yang betul-betul sesuai dengan kulit muka setelah bertemu dengan doktor pakar kulit kerana saya mengalami masalah kulit kering.

“Jadi, doktor pakar itu menyarankan produk yang sesuai seperti produk yang membantu melembapkan kulit saya.

“Selain itu, saya dinasihati agar minum banyak air masak,” ujarnya.

Sengaja menduga sama ada dia ada mengamalkan petua tradisional, Sara hanya tergelak. Bukan bermakna dia tidak percaya tetapi katanya belum tiba masanya untuk mengamalkan petua yang biasa diamalkan oleh orang Melayu zaman dahulu.

“Saya tak suka makan jamu sebab ia boleh menyebabkan badan menjadi panas tetapi saya percaya suatu hari nanti mungkin saya akan mencubanya.

“Sejak kecil, saya seorang yang lasak dan tidak terlalu gemar dengan solekan dan tak kisah untuk berpanas di bawah cahaya matahari.

“Saya jarang menggunakan mekap sebab saya tak selesa. Sesetengah wanita boleh mekap setiap hari tetapi saya lebih suka wajah saya tanpa mekap kerana lebih menampakkan diri saya yang sebenar.

“Sebab itu saya kurang mengeluarkan belanja untuk produk kecantikan dan dianggarkan jika sesekali berbelanja hanya RM100 hingga RM200 sahaja,” tutur pelakon drama Wasiat di Astro Ria ini.

Beralih kepada pemakanan, Sara akui mengalami badan yang mengecil dan sukar membesar disebabkan kadar metabolisme tinggi.

Makanlah sekerap dan sebanyak mana pun, badannya memerlukan masa beberapa bulan untuk membesar.

“Apabila saya merujuk kepada doktor, dia sarankan saya mengambil suplemen seperti Vitamin C untuk menambah selera makan dan berat badan.

“Saya pula jenis yang tidak cerewet apabila tiba bab makan. Saya suka makan nasi. Pada waktu pagi, saya jarang mengambil sarapan tetapi saya akan makan banyak pada waktu tengah hari dan petang manakala pada malam hari pula saya akan makan apa sahaja melainkan nasi,” ujarnya.

Tip cantik

-Kerap pakai krim pelindung cahaya matahari jika cuaca panas.

-Pilih produk yang sesuai dengan kulit.

-Penting minum banyak air masak.

- Tidur yang cukup dari lapan hingga sembilan jam sehari.

Profil

Nama penuh: Siti Sarah Hairi Ali

Umur: 21 tahun

Tarikh lahir: 11 Oktober 1990

Asal: Batu Pahat, Johor

Drama: Wasiat

Filem: Sesuatu Yang Tertinggal, Songlap, Penunggu Istana dan Nur Kasih The Movie

Foto RAYMOND OOI Solekan dan tatarias SHAMNINA OMAR(019-3686619) menggunakan produk LAURA MERCIER Lokasi HOTEL FEDERAL KUALA LUMPUR (Terima kasih MAY LEE)

Solekan dan tatarias SHAMNINA OMAR(019-3686619) menggunakan produk LAURA MERCIER

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

Artikel Berikut

Artikel Lain