suria

Royalti : Waris P.Ramlee Minta Kerajaan Campur Tangan

Allahyarham Tan Sri P.Ramlee
Allahyarham Tan Sri P.Ramlee
Allahyarham Tan Sri P.Ramlee

PETALING JAYA: Cucu kepada seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Gunawan Nasir, 39, meminta kerajaan untuk campur tangan bagi menyelesaikan isu royalti filem-filem lakonan P.Ramlee yang selama ini diberikan sepenuhnya kepada syarikat produksi Shaw Brothers.

Gunawan berkata, selama ini pihaknya hanya menerima royalti berdasarkan lagu-lagu yang dimainkan stesen penyiaran melalui Badan Pelindung Hakcipta Muzik Malaysia (MACP).

"Setakat ini kami menerima royalti MACP berjumlah lebih kurang RM200,000 yang dibayar pada tahun lalu dan ia dibahagikan kepada lapan orang waris mengikut sistem faraid.

"Cuma dari segi royalti filem, kami belum menerima sebarang imbuhan dan kebetulan pula, peguam Datuk Hamzah Mohd Kassim datang kepada kami untuk membantu mendapatkan hak royalti filem yang sepatutnya diterima sejak dahulu lagi," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Gunawan merupakan anak sulung kepada Allahyarham Mohd Nasir P.Ramlee dengan isteri pertama iaitu Mariati Abdul Rahman.

Dia diminta mengulas kenyataan peguam Datuk Hamzah Mohd Kassim dalam mStar Online, Rabu, yang mencadangkan agar kerajaan persekutuan mengadakan perbincangan dengan pihak Shaw Broters berhubung isu itu.

Pembayaran royalti daripada filem-filem lakonan P.Ramlee dikatakan tidak pernah dibayar oleh pihak Shaw Brothers walaupun syarikat produksi tersebut mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit.

Tambah Gunawan, jika benar royalti filem-filem P.Ramlee itu merupakan hak waris-warisnya, dia berharap agar pihak syarikat produksi itu memberikan hak tersebut yang selama ini belum diperoleh.

"Jujurnya, saya memang tidak pandai mengenai hak-hak yang perlu kami terima. Tapi, jika benarlah kami ada hak, sila berikan hak kami itu," jelasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain