suria

Aizat Nasihat Artis Muda Perlu Banyak Membaca

Aizat mahu industri muzik berkembang menerusi pembacaan ilmu muzik. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Aizat mahu industri muzik berkembang menerusi pembacaan ilmu muzik. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Aizat mahu industri muzik berkembang menerusi pembacaan ilmu muzik. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aizat menyarankan kepada penyanyi-penyanyi muda pada hari ini supaya banyak membaca ilmu berkaitan muzik untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang masing-masing.

Menurut Aizat disebabkan kebanyakan golongan muda memonopoli dunia muzik, dia melihat tidak ramai yang boleh bertahan dalam industri tersebut kerana kekurangan ilmu yang diperoleh.

"Pada pendapat saya, hanya beberapa penyanyi solo dan kumpulan sahaja yang mungkin bertahan dan terus maju dengan karya muzik masing-masing.

"Sebab itu, untuk menyertai bidang muzik, ia tidak boleh dianggap hobi atau sekadar seronok-seronok sahaja tetapi mereka perlu ada misi dan visi untuk mengangkat muzik yang mereka bawa.

“Pada masa yang sama mereka perlulah banyak membaca untuk mengembangkan bakat yang tersedia ada," katanya.

Tambah Aizat, dengan pembacaan juga, para penyanyi boleh merancang dan membuat strategi pemasaran terhadap produk muzik yang dibawakan supaya dapat bertahan lama.

"Anggaplah karier muzik ini adalah sebuah perniagaan. Daripada situ, barulah kita boleh merangka strategi untuk mempelbagaikan muzik yang bakal dihasilkan serta cara-cara pemasaran dan promosi yang harus dibuat," ujarnya.

Dalam pada itu, Aizat juga sedang membuat persiapan untuk melanjutkan pelajarannya di Point Blanc Music School jurusan Diploma dalam Produksi Muzik dan Jurutera Audio selama dua tahun bermula tahun hadapan.

Kata Aizat, ketiadaannya di Malaysia nanti tidak bermakna dia akan mendiamkan diri dalam bidang nyanyian dengan begitu sahaja.

Sebaliknya Aizat telah merancang untuk menghasilkan beberapa lagu di United Kingdom dan akan pulang ke Malaysia tiga bulan sekali untuk promosi lagu.

"Selain itu, saya juga merancang untuk merakamkan sendiri aktiviti-aktiviti harian sepanjang pembelajaran saya di sana dan menjual rakaman tersebut kepada mana-mana syarikat produksi untuk ditayangkan ke stesen televisyen.

"Bagaimanapun semua ini sekadar perancangan yang ada dalam fikiran tetapi belum ada hitam putihnya lagi," jelasnya.

Sementara itu, Aizat akan menemui para peminat menerusi Konsert Borneo Tour di Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak, pada 16 Julai depan dan Dewan KDCA, Penampang, Kota Kinabalu, Sabah (22 Julai).

Aizat berkata konsert yang bertemakan Celebration Of Music itu merupakan kesinambungan daripada persembahannya di Auditorium Bentley, Mutiara Damansara pada Januari lalu.

Tiket boleh didapati menerusi laman web www.mall.aizatamdan.com serta di kaunter tiket Stadium Perpaduan Kuching bermula pada 4 Julai dan Dewan KDCA, Penampang (18 Julai). Seramai 1000 pembeli tiket pertama akan ditempatkan di bahagian ‘Rock Zone’ yang terletak berdekatan dengan pentas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain