suria

Shaw Brothers Digesa Bayar Royalti Kepada Waris P.Ramlee

Sekumpulan pelawat berkunjung ke rumah peninggalan P.Ramlee di Pulau Pinang.
Sekumpulan pelawat berkunjung ke rumah peninggalan P.Ramlee di Pulau Pinang.
Sekumpulan pelawat berkunjung ke rumah peninggalan P.Ramlee di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: Syarikat produksi zaman filem hitam-putih, Shaw Brothers digesa membayar royalti yang dikautnya berjuta-juta ringgit kepada waris atau ahli keluarga Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Peguam Datuk Hamzah Mohd Kassim yang mewakili ahli keluarga seniman Agung itu berkata, setakat ini ahli keluarga atau waris P.Ramlee tidak pernah menerima royalti sepenuhnya tetapi sekadar satu jumlah yang kecil sahaja.

“Pembayaran royalti mesti diberikan walaupun terdapat kekaburan dari segi peruntukan undang-undang terhadap filem-filem yang dihasilkan beberapa dekad lalu,” katanya kepada pemberita di galeri bersebelahan rumah P.Ramlee membesar dekat sini, Rabu.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Kesenian dan Kebudayaan Melayu, Datuk Seri Mohd Yussof Latiff dan Pengarah Kembara Dunia Travel And Tours Sdn Bhd, Roslina Bahari.

Difahamkan syarikat produksi Shaw Brothers telah menerima royalti berjuta-juta ringgit hasil penayangan filem-filem P.Ramlee sejak lebih tiga tahun lalu.

Kata Hamzah, tiada siapa menjangka filem-filem P.Ramlee akan terus disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan selepas kematiannya pada tahun 1973.

Oleh yang demikian katanya, ahli keluarga atau waris Allahyarham berhak untuk mendapat hak mereka sebagai pendapatan tambahan terhadap filem-filem yang ditayangkan.

Hamzah berkata beliau akan mencadangkan kepada kerajaan persekutuan untuk mengadakan perbincangan dengan Shaw Brothers dalam isu tersebut.

Beliau berkata setakat ini, ahli-ahli keluarga Allahyarham hanya menerima kira-kira RM200,00 daripada syarikat-syarikat rakaman pada tahun lepas.

“Kerajaan juga perlu mengadakan perbincangan dengan pihak di Indonesia yang turut memainkan lagu-lagu Allahyarham di negara berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah berkata terdapat perancangan untuk membangunkan kawasan sekitar Rumah P. Ramlee.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain