suria

Mari Menari : Pasangan Wan Puas Hati Walaupun Tersingkir

Pasangan Wan diumumkan oleh pengacara Awal Ashaari (kanan) dan Lisa Surihani sebagai pasangan pertama yang tersingkir daripada kumpulan Belalang. - Foto ROHAIZAT DARUS
Pasangan Wan diumumkan oleh pengacara Awal Ashaari (kanan) dan Lisa Surihani sebagai pasangan pertama yang tersingkir daripada kumpulan Belalang. - Foto ROHAIZAT DARUS
Pasangan Wan diumumkan oleh pengacara Awal Ashaari (kanan) dan Lisa Surihani sebagai pasangan pertama yang tersingkir daripada kumpulan Belalang. - Foto ROHAIZAT DARUS

BUKIT JALIL: Pasangan Wan yang tersingkir pada minggu pertama program tarian Mari Menari musim kedua (MM2) malam Ahad lalu mengakui berasa puas hati dengan persembahan mereka.

Pasangan Mohammat Arziwan Amat, 25, (Wan) dan adiknya Azirah Nabihah Amat, 18, menjadi pasangan pertama yang tersingkir daripada kumpulan Belalang selepas mendapat undian terendah iaitu 18.13 peratus.

Kata Wan, walaupun hanya dapat bertahan selama seminggu dalam pertandingan tersebut, mereka tetap berpuas hati kerana telah mempersembahkan tarian sebaik mungkin dan menganggap rezeki tidak berpihak kepada mereka kerana peratusan undian penonton yang rendah.

"Perasaan sedih memang ada tapi secara keseluruhannya kami berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan untuk minggu ini.

"Penyingkiran ini sudah kami jangkakan kerana peratusan kami adalah yang paling rendah sebelum pertandingan bermula.

"Jadi kami menerima ia dengan hati terbuka," katanya yang mengakui persaingan sengit dalam kumpulan Belalang.

Sementara empat lagi pasangan dalam kumpulan itu yang terselamat dan meneruskan persaingan adalah pasangan Nita 18.54 peratus, pasangan Razman (20.55), pasangan Faiz (20.90) dan pasangan Mizi (21.88).

Pada malam Sabtu, pasangan Ummi tersingkir daripada kumpulan Ray selepas mendapat undian terendah iaitu 16.60 peratus di belakang pasangan Azlin (18.59), pasangan Bibi (19.34), pasangan Sarah (20.72) dan pasangan Nora (24.75).

Minggu pertama MM2 yang menampilkan tema ‘Gemalai Ekstravaganza’ telah diadili oleh tiga juri tetap iaitu Joseph Gonzalez, Vanidah Imran dan Harith Iskander serta juri undangan Jaafar Onn.

MM musim ini menyaksikan format baru di mana 10 peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Ray dibawah pereka tari profesional Ray Redzuan dan kumpulan Belalang di bawah Mohd Zulfaqar Awaluddin.

Para peserta masih lagi dinilai berdasarkan format permarkahan 50 peratus undian daripada Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan 50 peratus undian juri.

MM2 diacarakan oleh Awal Ashaari dan Lisa Surihani dan bersiaran setiap Sabtu dan Ahad pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

Artikel Berikut

Artikel Lain