suria

Yusof Haslam Terima Respons Positif 'KL Gangster'

Yusof dan anaknya, Syamsul.
Yusof dan anaknya, Syamsul.
Yusof dan anaknya, Syamsul.

PETALING JAYA: Penerbit filem KL Gangster, Datuk Yusof Haslam, 57, menerima banyak maklum balas positif daripada kenalan dan penonton mengatakan filem itu merupakan filem terbaik setakat ini.

Katanya, ramai pihak mengatakan filem lakonan Aaron Aziz, Syamsul Yusof, Adi Putra, Zizan (Raja Lawak) dan Sheera Iskandar itu diangkat sebagai filem berkualiti dan bukannya mengejar nilai komersil semata-mata.

“Saya bangga dengan anak saya, Syamsul kerana membikin filem itu sebaik mungkin mengikut bajet yang ada.

“Paling bangga apabila filem ini dihasilkan oleh syarikat bumiputera,” katanya kepada mStar Online.

KL Gangster, mencatat kutipan mengejutkan apabila meraih RM10.3 juta sehingga Ahad lalu sejak ditayangkan bermula 9 Jun.

Sebelum ini, Skop Production pernah menempa kejayaan menerusi filem berjudul Sembilu pada tahun 1993 dengan kutipan RM4.2 juta dan seterusnya Sembilu 2 pada tahun 1994 mencecah RM6.2 juta.

Sebalik kejayaan KL Gangster, Yusof menyangkal dakwaan bahawa filem tersebut mencecah kutipan tinggi kerana kontroversi yang dikaitkan dengan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida).

“Saya sama sekali menafikan perkara ini kerana kutipan filem ini tiada kena-mengena dengan kontroversi itu. Ikutkan, daripada hari pertama filem ini ditayangkan, ia sudah mendapat kutipan yang luar biasa.

“Kontroversi itu muncul selang tiga hingga empat hari selepas KL Gangster ditayangkan dan ia hanya menghangatkan suasana. Malah, kami sebenarnya sudah bermaaf-maafan pada Jumaat lalu,” ujarnya lagi.

Selepas Syamsul, Yusof mahu memberikan peluang kepada seorang lagi anaknya, Syafiq, 18, untuk mengarah filem pertama genre “psiko-thriller” berjudul Saya Amat Mencintaimu (SAM).

Filem tersebut bakal dilakonkan oleh Syamsul, Lisa Surihani, Shaheizy Sam, Azad Jasmin dan Neelofa.

Satu sidang media tentang pengumuman filem ini akan diadakan pada 4 Julai ini, pukul 8 malam di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Artikel Berikut

Artikel Lain