suria

Zul Ariffin Tidak Lagi Dibayangi Abby Abadi

Zul Ariffin.
Zul Ariffin.
Zul Ariffin.

PETALING JAYA: Pelakon Zulkifli Ariffin, 25, yang suatu ketika dahulu sering dikaitkan dengan pelakon Abby Abadi kini boleh menarik nafas lega apabila tidak dibayangi dengan pelakon wanita itu lagi.

Kata pemuda yang dikenali dengan nama Zul ini, dia semakin selesa bergerak di dalam industri seni tanpa dipalit dengan gosip cinta sebaliknya berdiri di atas bakat yang ada.

“Alhamdulillah, sekarang ada juga orang yang nampak bakat saya. Tetapi saya masih belum berpuas hati dan akan berusaha lebih gigih selepas ini.

“Daripada awal saya ceburi bidang seni ini, memang saya sudah tanamkan azam untuk menonjolkan bakat dan bukannya naik dengan ‘isu’ yang tidak boleh menjaminkan apa-apa,” katanya kepada mStar Online.

Tambahnya yang sedang menjalani penggambaran drama Hilang untuk TV9: “Saya nak bekerja dan bertahan lebih lama dalam bidang ini, jadi saya perlu tunjukkan kebolehan dan bakat tersendiri serta melakukan yang terbaik.

“Saya akui tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan tetapi tidak nafikan Abby Abadi merupakan antara orang yang banyak menolong dan menyokong saya daripada belakang.”

Seperti diketahui, hubungan dia dan Abby bukan lagi menjadi rahsia ramai. Bagaimanapun, dia enggan terlalu menghebohkan tentang hubungan itu kerana masanya akan tiba andai ada jodoh di antara mereka.

"Saya tak nak sorok tentang hubungan kami tetapi kalau boleh tidak semua perkara saya boleh kongsi kerana bimbang orang akan bosan," jawabnya ringkas.

Artikel Berikut

Artikel Lain