suria

Farah Fauzana Teruja Berlakon 'Mak Dara Nyonya'

Farah Fauzana
Farah Fauzana
Farah Fauzana

KUALA LUMPUR: Penyampai radio dan pengacara Farah Fauzana mengaku teruja apabila ditawarkan untuk berlakon teater Mak Dara Nyonya yang bakal dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), pada 6 hingga 12 Julai depan.

Kata Farah, dia sudah lama menunggu tawaran untuk berlakon di pentas teater dan tawaran tersebut datang tepat pada masanya.

"Masa mereka tawarkan saya untuk berlakon teater ini, saya terus terima tanpa fikir panjang dan ketika itu saya berada di luar negara

"Saya memang ingin mencuba berlakon teater sejak dari dulu lagi, ketika di universiti saya ada ambil subjek teater.

"Bukan tiada tawaran tetapi masa tidak mengizinkan dan ketika itu juga banyak komitmen lain seperti menjadi pengacara Melodi," ujarnya ketika ditemui pada sidang media Majlis Teater Mak Dara Nyonya di sini, Rabu.

Selain Farah, beberapa pelakon popular yang menjayakan teater ini ialah Misha Omar, Sarimah Ibrahim, Norzizi Zulkifli dan Sherry Syed Abdullah manakala Juhara Ayob mengalas tanggungjawab melakonkan watak Mak Dara.

Tambahnya, biarpun pernah mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan, dia menganggap teater mempunyai kelainan dan cabaran tersendiri.

"Teater berbeza dengan berlakon, untuk teater kita perlu beri fokus 100 peratus. Kali ini saya nampak cabaran utama ialah untuk bercakap dalam bahasa Indonesia dan memainkan watak gedik.

"Saya sendiri masih tidak yakin sebenarnya, ketika hari pertama latihan saya lihat wajah Juhara Ayob saja saya sudah rasa tertekan kerana kesemua pelakon mempunyai pengalaman yang banyak dalam bidang teater kecuali saya," ujarnya yang memegang watak isteri kepada Tuan.

Bagaimanapun, jelas Farah dia tidak akan mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk membawakan watak tersebut dengan baik.

Dalam pada itu, penerbit teater, Siti Rohayah Attan memberitahu pemilihan Farah sebagai salah seorang pelakon teater ini adalah pilihan yang tepat.

"Biarpun dia tidak ada pengalaman tapi saya nampak dia boleh berlakon, saya hanya cuba nasib untuk mengajak dia berlakon bersama kami dan tidak sangka dia menerima tawaran itu.

"Saya yakin dia dapat membawakan watak tersebut dengan baik, setakat ini saya nampak komitmen dia sebagai pendatang baru dan banyak bertanya kepada pelakon-pelakon lain," katanya.

Teater di bawah kerjasama Matic dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu mengisahkan tentang perjalanan dan kesengsaraan hidup pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah serta kisah seorang nyonya dari Indonesia.

Menurut Siti Rohayah, bajet teater yang ditaja oleh Jamu Mak Dara Sdn Bhd itu merupakan yang termurah berbanding penerbitan teater-teater lain apabila ia hanya mengeluarkan kos sebanyak RM250,000 sahaja.

Tiket untuk menyaksikan Teater Mak Dara Nyonya ini boleh didapati dengan harga RM32, RM52 dan RM82. Untuk keterangan lanjut sila hubungi 03-41478600, 012-2977220 dan 013-6293825.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain