suria

Azhar Sulaiman Hias Dalaman Lapangan Terbang, Rumah

PETALING JAYA: Pelakon popular menerusi filem Abang ’92, Azhar Sulaiman (gambar) sibuk menumpukan perniagaan hiasan dalaman melalui syarikat Kasih Andika Sdn Bhd.

Menurut Azhar, dia baru selesai merekabentuk hiasan dalaman ruangan menunggu kelas pertama syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selepas ini, Azhar berhasrat untuk terlibat dengan lebih banyak projek merekabentuk di lapangan terbang itu.

“Sekarang, saya sedang berusaha untuk melakukan pengubahsuaian ruang menunggu orang kenamaan syarikat Emirates Airlines di KLIA.

“Saya berharap mendapat peluang itu,” kata Azhar kepada mStar Online.

Sebelum ini, dia pernah terlibat dalam merekabentuk hiasan dalaman KRU Studios di Cyberjaya dan Finas, Hulu Kelang.

Selain itu, dia sedang terlibat dengan projek menyiapkan rumah baru seorang pelakon di UK Perdana.

“Ada beberapa kenalan artis yang turut meminta saya merekabentuk rumah mereka. Saya juga bertuah apabila ditawarkan berlakon sambil merekabentuk rumah bot milik pengarah Ahmad Idham di Tasik Kenyir untuk penggambaran filem Jangan Pandang Pandang sebelum ini.

“Dalam filem tersebut, saya ditawarkan berlakon sebagai pemilik rumah bot itu,” ujarnya lagi yang masih aktif dalam aktiviti seni.

Dalam perkembangan lain, pelakon filem Trauma dan Impian ini juga mengacara program Deko Idaman di TV3, berlakon dua drama 13 episod berjudul Stanza Cinta dan Kampus.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain