suria

Filem 'Lemonade Mouth' Ahad Ini

Lemonade Mouth
Lemonade Mouth
Lemonade Mouth

PETALING JAYA: Filem muzikal berbentuk kekeluargaan dan remaja, Lemonade Mouth, akan ditayangkan buat julung kalinya di Astro Disney Channel (Saluran 615) pada Ahad ini pukul 7.30 malam.

Dibintangi oleh Bridgit Mendler, Adam Hicks, Hayley Kiyoko, Naomi Scott dan Blake Michael, filem itu turut menampilkan sepuluh buah lagu baru.

Skrip filem yang ditulis oleh April Blair yang diadaptasi daripada buku Lemonade Mouth oleh Mark Peter Hughes itu mengisahkan tentang sekumpulan pelajar yang begitu meminati muzik menubuhkan sebuah kumpulan bernama Lemonade Mouth.

Semuanya bermula apabila Olivia White, Wen Gifford, Stella Yamada, Mohini (Mo) Banjaree dan Charlie Delgado memperkenalkan diri di pentas Madison Square Garden (MSG) dan para penonton mula bersorak apabila mereka memulakan persembahan.

Peluang berada di pentas MSG membuatkan Stella sebagai ketua kumpulan bertemu dengan Miss Reznick untuk berbincang tentang penubuhan dan hala tuju yang ingin dicapai oleh Lemonade Mouth.

Sebagai pelajar sekolah Mesa High School, mereka ingin memikat hati pelajar-pelajar lain dan telah mendapat sokongan padu daripada pengetuanya.

Bagaimanapun, tidak semua pelajar Mesa menerima kumpulan baru itu dengan baik lebih-lebih lagi apabila kumpulan rock Mudslide Crush sering menjadi hiburan utama mereka.

Ketika sibuk berjuang mengukuhkan nama Lemonade Mouth, mereka mempunyai beberapa konflik kerana teman lelaki Mo merupakan pemain gitar Mudslide Crush.

Selain itu, terdapat juga konflik lain apabila bapa Olivia tidak mengambil peduli tentang dirinya dan membuatkan dia begitu kecewa dengan bapanya itu.

Wen pula geram dengan kekasih bapanya yang hipokrit manakala Stella pula cuba menjauhkan diri daripada keluarganya yang terlalu memaksanya memperoleh keputusan akademik yang cemerlang walaupun dia antara pelajar terbaik di sekolah tersebut.

Lemonade Mouth yang diarahkan oleh Patricia Riggen sememangnya sebuah filem yang hebat untuk ditonton oleh seisi keluarga lebih-lebih lagi ia mengisahkan tentang golongan remaja yang mempunyai pelbagai masalah tetapi tetap berjuang dengan perkara yang diminati.

Artikel Sebelum

Artikel Lain