suria

Alyah, Ramlah Ram Berganding Dalam 'Konsert Sensasi 2'

Ramlah Ram dan Alyah Foto Ricky Lai
Ramlah Ram dan Alyah Foto Ricky Lai
Ramlah Ram dan Alyah Foto Ricky Lai

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali, dua penyanyi popular, Ramlah Ram dan Alyah digabungkan dalam satu pentas yang sama bagi menjayakan Konsert Sensasi 2 di Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut penerbitnya, Mohd Yusni Mohd Ali, kedua-dua artis berkenaan digabungkan bagi memberi kelainan terhadap program rakaman sempena Hari Raya Aidilfitri akan datang.

"Kedua-dua artis ini digandingkan kerana mereka merupakan artis kelahiran RTM dan mempunyai kekuatan vokal tersendiri.

"Selain itu, mereka juga mempunyai peminat sendiri daripada dua zaman berbeza. Dari segi pemilihan lagu, kami memberi peluang kepada mereka untuk menyanyikan lagu popular dan kegemaran masing-masing," jelasnya ketika ditemui selepas selesai rakaman Konsert Sensasi 2, di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini, Rabu.

Dalam pada itu, kata Yusni program sepanjang satu jam setengah itu juga bakal menyelitkan sketsa-sketsa yang menarik antara Ramlah Ram dan Alyah.

"Kami akan melakukan penggambaran untuk sketsa yang akan dipaparkan untuk beberapa segmen dalam program ini, ia berkisar tentang kedua-dua artis ini," katanya.

Persembahan yang dimulakan dengan nyanyian lagu-lagu popular Hari Raya seperti Hari Raya Hari Bahagia, medley Lama Tak Jumpa dan Apa Khabarmu Di Sana pastinya mampu membangkitkan kehangatan raya para penonton.

Menyusul kemudian segmen Lagu Popular Alyah iaitu realiti Dewi, Tak Mungkin Kerna Sayang dan Kisah Hati. Manakala Ramlah Ram turut mendendangkan lagu popularnya iaitu Benar Mencintai, Kau Kunci Cintaku duet bersama Awis (peserta Tiada Lama Tiada Baharu) serta lagu Ketentuan.

Kedua-dua artis popular ini kemudiannya bakal menghangatkan pentas dengan segmen Lagu Pujaan Cinta nyanyian Ramlah Ram iaitu Di Alam Fana Cinta, Mahakarya Cinta sebelum Alyah mengambil pentas dengan memilih mendendangkan lagu Nokhtah Cinta dan Mimpi Yang Tak Sudah.

Kemeriahan program yang bakal bersiaran menerusi saluran Dunia Ria, TV2 ini diakhiri dengan penyampaian duet lagu Penawar Rindu dan medley Raya Indahnya Berada Di Desa dan Bersama di Hari Raya.

Artikel Berikut

Artikel Lain