suria

Hidup Tenang, Rahsia Muda Anita Sarawak

Anita Sarawak
Anita Sarawak
Anita Sarawak

JARANG sekali kita dapat melihat seorang wanita yang hampir menginjak usia 60 tahun memiliki postur badan menarik dan wajah yang berseri seperti penyanyi tersohor, Anita Sarawak atau Ithnaini Mohd Taib ini.

Apatah lagi apabila melihat kelincahannya menyanyi sambil menari, tenaganya bak seorang gadis remaja. Rahsianya? Penjagaan makanan dan kesihatan yang paling diutamakan. Walau sesibuk mana sekalipun, Anita atau lebih selesa membahasakan dirinya Kak Nita ini akan mengambil berat rutin penjagaan diri.

“Tahun ini saya sudah berusia 59 tahun dan sehingga kini saya masih mendisiplinkan diri di mana saya akan bangun seawal 5.30 pagi dan kemudiannya saya akan menjamah dua keping roti serat disapu mentega dan sebiji pisang. “Kalau tak nak bosan dengan menu sama, saya ubah sedikit dengan meminum secawan kopi bersama biskut gandum. Yang penting pemakanan bertenaga perlu diambil bagi memudahkan aktiviti seharian saya yang rutinnya sungguh padat.

“Bagi saya, semua orang mahu kelihatan cantik dan berada dalam kesempurnaan, jadi kita perlu menjaga diri untuk mendapatkan kesihatan seperti yang diinginkan,” tutur Kak Nita.

Selain penjagaan kesihatan luaran dan dalaman badan, kata Kak Nita fikirannya juga perlu tenang dan sentiasa berfikiran positif.

“Dalam dunia ini memang manusia sentiasa bergelut dengan dugaan tetapi kita perlu bijak menanganinya agar masalah itu tidak menguasai minda kita,” katanya yang turut menggemari makanan yang dibakar serta dikukus.

Tambah Kak Nita, dia juga mengamalkan diet sayur-sayuran serta makanan berprotein tinggi berbanding karbohidrat.

Sementara itu, Kak Nita bakal menghangatkan Minggu Setiausaha anjuran Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 6 April depan bersama Noryn Aziz dengan tema Divas Las vegas. Seperti yang diketahui, Kak Nita sanggup berbuat apa sahaja agar dapat menghiburkan peminat-peminat yang hadir menyaksikan persembahannya.

Minggu Setiausaha kali ini mempunyai kelainan sedikit di mana para penonton dapat berhibur dan pada masa sama mereka turut menerima hadiah yang lumayan.

Penyanyi itu akan berkongsi minatnya bersama para tetamu dengan memberikan mereka hadiah berbentuk barangan kemas daripada Elegance Club serta perabot mewah daripada Empire Classic Furniture.

“Ia merupakan hadiah yang sangat istimewa kerana kesemua hadiah itu merupakan barangan kegemaran saya iaitu berkonsepkan klasik dan elegan. Lebih-lebih lagi barangan perabot Empire dan saya tahu, rekaan dan kualitinya pasti memikat hati sesiapa sahaja,” ujarnya.

“Pada persembahan itu nanti, saya akan memberi beberapa soalan kepada tetamu dan mereka pasti boleh menjawab soalan itu jika mereka benar-benar peminat saya.

“Jika jawapan itu dijawab dengan betul, mereka akan mendapat hadiah. Malah mereka juga berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan memenangi barangan dua jenama tersebut yang bernilai hampir RM100,000,” katanya.

Tiket menyaksikan minggu setiausaha itu dijual dari harga RM420 hingga RM550. Sila hubungi Ticket Charge Hotline di talian 03-9222-8811 untuk tempahan.

10 Soalan Menarik

1. Hitam, putih atau merah?

Hitam adalah warna kegemaran saya sejak remaja. Koleksi baju di almari pula kebanyakannya bewarna hitam. Hitam tidak pernah mati daripada fesyen. Tapi masa kecil dulu-dulu saya suka merah.

2. Pilih Abang Mahathir atau Mahathir Mohammad?

Mestilah Abang Mahathir! Dialah segala-galanya bagi saya.

3. Malaysia, Las vegas atau Singapura?

Malaysia. Saya mempunyai keluarga di sini dan kalau rindu senang nak jumpa. Kalau di luar negara, sudah pasti sukar untuk saya menjenguk keluarga.

4. Siput Sarawak atau Umie Khalsom?

Ini saya tidak boleh pilih! Dua-dua saya sayang. Kedua-dua mereka adalah ibu saya, tetapi memiliki karakter yang berbeza.

5. Kancil atau lori balak?

Kancillah. Ia selesa, jimat minyak dan senang nak selit-selit. kalau lori, susah nak parking. Lagipun saya tak reti bawak lori.

6. Kad kredit atau kad debit?

Semestinya kad kredit lebih-lebih lagi jika kita mempunyai sebuah perniagaan. Tapi, kalau nak belanja tak boleh boros. Lagipun ia lebih selamat digunakan dan ia lebih mudah untuk kita bekerjasama dengan bank seperti pinjaman dan sebagainya. Saya ada kenangan dimana pada zaman remaja dahulu, saya seorang yang boros dan suka membeli belah menggunakan kad kredit. Sekarang tidak lagi.

7. Tragedi Buah Epal atau Tragedi Oktober?

Lagu saya, tragedi Buah Epal. Senikatanya berunsur nasihat dan ia sebuah lagu yang bagus.

8. Baju kurung atau gaun?

Baju kurung kerana ia memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Memandangkan kita sering berpakaian kasual, sekali-sekala, bila berbaju kurung, kita akan tampak manis. ya, ia sepasng baju tradisional, tetapi juga selesa dan elegan.

9. Kasut atau beg?

Saya suka beg. Abang mahathir yang mengajar saya untuk menyukainya. Lebih-lebih lagi dia rajin membelikan saya pelbagai beg tangan dan pastinya ia sungguh bermakna buat saya. Koleksinya tidak terkira.

10 Hospital Gleneagles, Hospital Pantai atau hospital Prince Court?

Saya nak pilih dua iaitu Gleaneagles dan Prince Court. Di Gleneagles, saya sudah memiliki doktor pakar saya sendiri bagi pemeriksaan tulang, selain pemeriksaan kesihatan lain yang biasa di buat. Sampaikan saya dah kenal dengan jururawat di sana. Di Prince Court pula tempat Abang Mahathir pula yang membuat pemeriksaan kesihatan.

Artikel Lain