suria

"Buat Filem Bukan Untuk Syok Sendiri" - Sabree Fadzil

Pelakon 1980an yang kini bergelar pengarah filem, Sabree Fadzil bakal turun ke lokasi filem Tokak bermula 17 Mac depan. - Foto The Star oleh M. RAJAN.
Pelakon 1980an yang kini bergelar pengarah filem, Sabree Fadzil bakal turun ke lokasi filem Tokak bermula 17 Mac depan. - Foto The Star oleh M. RAJAN.
Pelakon 1980an yang kini bergelar pengarah filem, Sabree Fadzil bakal turun ke lokasi filem Tokak bermula 17 Mac depan. - Foto The Star oleh M. RAJAN.

KUALA LUMPUR: Aktor popular di era 1980-an yang kini bergelar pengarah iaitu Sabree Fadzil memilih menghasilkan filem komedi seram, Tokak sebagai pertaruhan terbarunya demi memenuhi selera penonton yang lebih menggemari genre tersebut.

Kata Sabree, tinjauan yang dilakukannya mendapati genre tersebut bukan sahaja mendominasi pasaran filem Melayu semasa, malah turut meraih jumlah kutipan yang besar di pawagam.

"Keputusan untuk mengarahkan filem komedi seram bertitik-tolak daripada pengamatan saya terhadap selera penonton kita hari ini. Majoriti penonton filem Melayu tidak suka pada filem-filem yang berat.

"Rata-rata filem yang mencapai kutipan pecah panggung terdiri daripada filem seram, komedi dan ringan seperti Jangan Pandang Belakang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Ngangkung dan Khurafat.

"Sebagai penggiat filem, kita buat filem untuk penonton dan bukan untuk syok sendiri.

"Memandangkan filem-filem begini yang boleh 'dijual' pada hari ini, maka saya pilih untuk buat filem begini," katanya yang ditemui pada majlis pra-pelancaran filem itu di Dataran Karyawan Finas, Hulu Kelang, Selasa.

Mengulas tentang tanggungjawabnya sebagai pengarah dan pelakon Tokak, hero filem Wira Angkasa (1987) itu berkata, keutamaannya bertumpu pada aspek pengarahan dan teknikal berbanding lakonan dalam filem itu.

"Walaupun nama saya dibariskan sebagai pelakon utama, sebenarnya saya hanya muncul dalam beberapa babak sahaja. Karakter utama filem ini sebaliknya tertumpu pada watak jelmaan Iskandar iaitu Tokak (lakonan Zul Saila).

"Tumpuan saya adalah pada aspek pengarahan dan teknikal kerana itulah kekuatan dan kecenderungan saya," katanya yang berhempas-pulas selama setahun sebelum bertemu usahawan Datuk Marina Mahammad yang akhirnya sudi menerbitkan filem itu.

Istilah 'tokak' yang membawa maksud 'gigit' di kalangan masyarakat Melayu Kedah, berkisar pada kejadian jelmaan puaka dari Sungai Raya yang terlepas daripada sumpahannya dan meresapi tubuh seorang pemilik resort, Iskandar (Sabree Fadzil).

Bagi memulihkan rupa Iskandar seperti sedia kala, dia disyaratkan untuk membunuh dan menghirup darah enam wanita yang melakukan kemaksiatan dalam tempoh satu malam sahaja.

Pelbagai kejadian aneh dan ganas berlaku di sekitar resort itu dalam tempoh satu malam sahaja bermula dari azan Mahgrib sehinggalah azan Subuh.

Membariskan gandingan pelakon lama dan baru, filem terbitan Mar Energetic Industries Sdn Bhd itu bakal dijayakan Abon, Joey Daud, Faiz Raja Lawak, Airis Yasmin, Kazar Saisi, Sabree Fadzil, Lana Nodin, Zul Saila dan Diana Johor.

Ia bakal memulakan penggambaran pada 17 Mac hingga 7 April depan di sekitar Kuala Lumpur dan Port Dickson, Negeri Sembilan dengan kos penerbitan melebihi RM2 juta.

Artikel Berikut

Artikel Lain