suria

Erra Fazira Ajak Kaum Melayu & India Sertai EAC

Erra Fazira
Erra Fazira
Erra Fazira

BERPEGANG kepada dua objektif utama iaitu menyemai kreativiti kanak-kanak dan mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak, penubuhan Erra Art Club (EAC) yang dicetuskan oleh pelakon dan penyanyi terkenal Erra Fazira terus mengorak langkah dengan pelbagai aktiviti berfaedah.

Biarpun sudah mencecah keahlian kira-kira 1,000 orang sejak ditubuhkan November lalu, aktres berusia 37 tahun itu masih belum mampu mengukir senyuman dengan sambutan hangat tersebut.

Jelas Erra, dia sememangnya menghargai sokongan daripada kanak-kanak dan ibu bapa terhadap EAC. Bagaimanapun, keadaan itu masih belum memadai kerana berdasarkan respons yang diterima, sambutan daripada kaum Melayu dan India masih kurang berbanding keterujaan kaum Cina terhadap aktiviti kelab itu.

“Berdasarkan sambutan yang diterima, saya lihat sambutan daripada kaum Melayu dan India terhadap program riadah sebegini masih terlalu kurang berbanding kaum Cina.

“Saya berharap lebih ramai ibu bapa dan kanak-kanak mencontohi sikap keterbukaan kaum Cina terhadap aktitivi-aktiviti sebegini.

“Apabila melibatkan kepentingan anak-anak, ibu bapa kaum Cina lebih terbuka untuk menyokong dan memahami minat anak-anak mereka,” katanya yang ditemui pada pelancaran program rombongan EAC bersempena musim cuti sekolah akan datang.

Tambah Erra, penubuhan kelab itu bukan saja berfungsi sebagai platform bagi menyemai kreativiti dan kecenderungan anak-anak terhadap bidang kreatif, malah ia turut berperanan sebagai pengerat hubungan di antara ibu bapa dan anak-anak juga.

“Saya berharap program rombongan pada musim cuti sekolah nanti akan menarik minat lebih ramai ibu bapa dan kanak-kanak di luar sana.

“Ini adalah platform yang baik untuk eratkan hubungan ibu bapa dan anak-anak,” katanya yang mendapat ilham menubuhkan kelab itu selepas bergelar ibu kepada Engku Aleesya.

Justeru itu, program terbaru EAC iaitu rombongan ibu bapa dan anak-anak telah dilancarkan baru-baru ini bagi membuka minda golongan itu menerokai pelbagai perkara dan tempat baru yang meliputi aktiviti alam sekitar, kehidupan, sains dan alam semesta.

Bermula dengan lawatan ke Petrosains KLCC pada 1 Mei, rombongan berikutnya akan menerokai kehijauan alam sekitar di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bersempena Hari Alam Sekitar pada 11 Jun.

Pada 3 September pula, mereka akan berkunjung ke Zoo Negara bagi menghargai pelbagai jenis haiwan dan hidupan liar. Program tersebut berakhir di Pusat Sains Negara untuk menerokai dunia sains pada 17 Disember 2011.

Bagi menyertai rombongan itu, ahli kelab ini hanya perlu membeli produk Staedtler bernilai RM100 yang boleh dikumpulkan dalam tiga resit (maksimum) dalam tempoh setahun. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, bolehlah melayari laman web www.erra-artclub.com.my.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain