suria

Aida Aris Kecewa Mula Dipinggirkan

Aida Aris
Aida Aris
Aida Aris

PETALING JAYA: Pelakon Aida Aris,38, kecewa dan bosan dengan sikap sesetengah produksi yang mula meminggirkan artis senior sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada bakat-bakat baru.

Aida berkata, dia amat sedih apabila pelakon berpengalaman sepertinya hanya diberi watak pembantu sedangkan bakat-bakat baru diberi peranan utama walaupun pengalaman mereka tidak begitu menyerlah.

"Apa yang saya perhatikan, kebanyakan filem dan drama hari ini cenderung pada kisah remaja dan muda-mudi. Kalau ada pun watak-watak untuk pelakon senior, hanyalah sebagai pembantu dan tambahan saja.

"Jika kita tengok di Hollywood atau di Bollywood sekalipun, pelakon-pelakon senior masih berpeluang menjadi pelakon utama tetapi senario itu sangat berbeza di sini. Ia menyedihkan sebenarnya.

"Namun, saya akur senario ini berlaku pun disebabkann oleh permintaan penonton dan kehendak pasaran semasa," katanya yang ditemui pada tayangan perdana telefilem Dendam Maya di Damansara, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Aida berpendapat, keadaan itu semakin berleluasa mungkin disebabkan oleh faktor bayaran. Memandangkan kebanyakan pelakon baru dan muda kurang pengalaman berbanding pelakon lama, justeru pihak penerbit lebih senang untuk memberi tawaran kepada generasi muda dengan harga yang lebih rendah.

"Saya rasa keadaan ini dipengaruhi oleh faktor bayaran juga. Memandangkan pelakon-pelakon muda kurang berpengalaman, maka bayaran mereka pun tidak setinggi pelakon senior.

"Sebab itu kebanyakan penerbit kita lebih selesa memberi tawaran kepada pelakon muda. Jika kita berada di tempat penerbit pun, mungkin kita akan lakukan perkara yang sama kerana mereka menjalankan perniagaan. Sudah tentulah mereka mahu untung.

"Memang ada pelakon muda yang berbakat besar tetapi ramai juga yang tidak berpotensi dan tetap berpeluang untuk menghiasi filem dan drama hanya kerana mereka muda dan diminati ramai. Itu sebabnya, kebanyakan filem dan drama kita berkisar pada benda yang sama saja," katanya.

Aida yang kecewa dan bosan dengan keadaan itu bagaimanapun masih menerima tawaran berlakon secara konsisten dan tidak sesekali terfikir untuk bersara selagi diperlukan.

"Saya tidak nafikan keadaan ini mengecewakan dan mengundang kebosanan kepada pelakon senior seperti saya. Namun, saya bersyukur kerana sehingga hari ini tawaran lakonan masih ada.

"Selagi diperlukan, saya akan terus berlakon dan sama sekali tidak terfikir untuk mengalah atau berundur diri daripada bidang ini," katanya yang mula menempa nama menerusi filem Debu-Debu Kasih (1995).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain