suria

Ana Raffali Beri Penjelasan, Gugurkan Andy Dalam Facebook

Ana Raffali
Ana Raffali
Ana Raffali

PETALING JAYA: Penyanyi Ana Raffali dikatakan cuak selepas diumumkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu 25 (AJL25) sehingga bertindak membuang nama Andy (Flop Poppy) dalam senarai ahli kumpulan The Marhaen yang tertera pada Kelab Peminat Facebook miliknya.

Tindakan tersebut menjadi persoalan dan pertikaian segelintir pihak yang menganggap bahawa Ana takut berhadapan dengan kontroversi disebabkan Andy merupakan salah seorang juri yang berkeupayaan mempengaruhi kemenangannya dalam AJL25.

Ini kerana kedua-dua mereka merupakan ahli kumpulan tersebut.

Bagaimanapun menurut Ana yang dihubungi mStar Online pada awalnya nama Andy dalam senarai Facebook berkenaan dibuang berikutan pihak yang menguruskan lama sosial miliknya itu tidak mahu kontroversi pertikaian mengenai kemenangannya terus berlarutan.

“Pada awalnya pengurusan Kelab Peminat Facebook saya memadam nama Andy sebab tidak mahu berlaku kontroversi apabila Andy yang turut menjadi pengadil AJL25 tersenarai sebagai salah seorang dari ahli kumpulan saya.

“Sudah tentu peminat akan membuat spekulasi kononnya Andy akan melakukan keputusan yang berat sebelah untuk memilih saya menang dalam AJL25 kerana dia merupakan anggota kumpulan yang turut disertai oleh saya sendiri.

“Tapi setelah saya fikir beberapa kali, agak tidak adil saya memadamkan nama Andy yang sememangnya ahli kumpulan The Marhaen kerana saya merasakan dia melaksanakan tugasnya sebagai juri atas dasar profesionalismenya,” kata Ana.

Jelas Ana lagi, dia menganggap perkara tersebut hanya pertikaian daripada segelintir peminat yang tidak berpuas hati terhadap kemenangannya dalam anugerah itu.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada pemilihan Andy sebagai salah seorang juri AJL25 sedikit sebanyak mempengaruhi kemenangannya pada malam tersebut, Ana memberitahu Andy hanya salah seorang dari sepuluh orang juri yang menilai lagu-lagu bertanding.

“Walaupun dia merupakan salah seorang dari kumpulan kami tetapi keputusan menilai adalah di tangan ketua juri.

“Bila diberi tanggung jawab untuk menilai, saya percaya dia akan bekerja mengikut profesionalisme dan kredibilitinya sebagai komposer dan bukan kerana berkepentingan,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang pertikaian dan gerakan untuk menjatuhkannya di Facebook dan laman sesawang lain, Ana memberitahu perkara itu tidak mencerminkan keseluruhan pendapat masyarakat.

“Saya tahu ramai yang masih berbalah dan mempertikaikan keputusan juri terutamanya di Internet tetapi itu hanya segelintir sahaja.

“Ramai yang beri sokongan kepada saya selepas kemenangan ini dan bagi saya itu lumrah kerana setiap orang mempunyai cita rasa mengenai pemenang mereka,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

33 Selebriti Pakai Cheongsam

Artikel Lain