suria

‘Sekali Lagi…’ Filem Pertama Gandingan Lisa-Sam

FILEM ke-48 Metrowealth (MIG) berjudul Sekali Lagi… memberi ruang kepada pengarah baru, Hashim Rejab untuk mengarah filem tersebut.

Filem romantik tersebut buat julung kalinya menggandingkan pelakon popular, Lisa Surihani (gambar) dan Shaheizy Sam (gambar). Turut memantapkan filem ini menerusi kemunculan pelakon cilik, Mia Sara Nasuha yang popular menerusi drama Adamaya dan Epilog Syurga Cinta.

Selain itu, pelengkap kepada filem ini adalah kehadiran pelakon berbakat dan senior seperti Kartina Aziz, Bront Palarae dan Bob Lokman.

Menurut Hashim, selain pembabitan pelakon popular, salah satu kelebihan yang akan ditonjolkan dalam filem yang dijadualkan memulakan penggambaran pada 27 September ini adalah dari sudut sinematografi.

“Apabila menerima tanggungjawab sebagai pengarah filem, saya rasa gementar, takut dan risau. Tetapi saya telah melakukan persediaan dari segi rujukan bagi menampilkan cerita cinta dari sudut yang berbeza kerana ia menceritakan kisah cinta antara seorang yang percaya dirinya pengidap autisme dan seorang wanita yang berstatus ibu tunggal.

“Skrip cetusan panel MIG itu saya olah semula bagi sesuaikan dengan karakter setiap pelakon. Saya yakin dengan kebolehan Mohd Noor Kassim sebagai pengarah fotografi filem Sekali Lagi…, kerana dia pernah menjadi pengarah fotografi filem Magika, Cinta dan Sepi,” katanya kepada mStar Online.

Mohd Noor pernah menerima anugerah Sinematografi Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 pada tahun 2009.

Secara umumnya, Hashim akui filem melibatkan pesakit autisme dan lelaki cacat pernah ditonton menerusi beberapa filem Melayu dan luar negara seperti Melati Putih, Forrest Gump dan My Name Is Khan.

Bagaimanapun, Hashim berkata pendekatan yang digunakan filem Sekali Lagi… adalah berbeza berbanding filem-filem yang disenaraikan.

Ini kerana, filem ini mengisahkan tentang Arman yang percaya dirinya pengidap autisme kerana ibunya selalu berkata dia mengidap penyakit itu. Namun, perkara sebaliknya berlaku dalam filem yang akan ditayangkan pada tahun depan ini.

Hashim merupakan salah seorang pengarah muda yang dipilih dalam Skim 10 Pengarah Muda MIG. Sebelum ini, beliau banyak bertindak sebagai pengarah drama dan penolong pengarah filem di MIG.

Dia yang berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam bidang produksi pernah terlibat sebagai penolong pengarah drama Manjalara, Belalang dan Hikayat Putera Shazlan serta filem Kongsi dan Duyung.

Melihat potensi yang ada dalam dirinya, MIG yang diterajui oleh penerbit David Teo mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada Hashim membuktikan kebolehan mengarah filem pula.

Sudah menjadi amalan MIG memperkenalkan muka baru dalam dunia pengarahan dan Hashim merupakan pengarah muda keenam dalam Skim 10 Pengarah Muda itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain