suria

Penyanyi Andi Meriem Mattalatta Meninggal Dunia

JAKARTA: Penyanyi terkemuka Indonesia tahun 1980-an yang terkenal dengan lagu Mudahnya Bilang Cinta, Andi Meriem Mattalatta, 52, meninggal dunia kerana komplikasi penyakit.

Wanita jelita yang diberi julukan "Mutiara Dari Selatan" itu meninggal dunia ketika sedang bercuti bersama anak perempuan tunggalnya, Dania di Zoetermeer, Belanda pagi ini.

Keluarganya menyebut beliau meninggal dunia pada pukul 10 malam (Jumaat) waktu Belanda (5 pagi ini (Sabtu) Waktu Indonesia Barat).

"Ibu Andi Meriem Mattalatta menghubungi dari Belanda mengeluhkan adanya luka atau semacam bisul di tangan. Ternyata bisul itu memicu (mempercepat) jangkitan dan menyebabkan komplikasi kerana gula darah beliau tinggi dan akhirnya mempengaruhi fungsi jantung," kata abang ipar Andi Meriem, Agung Syaifullah kepada agensi berita ANTARA di Jakarta Sabtu.

Menurut Agung sebelum meninggal dunia, Andi Meriem masih sempat berhubung menerusi telefon dari Belanda memberitahu bahawa beliau berasa amat gelisah.

"Dia baru berada di Amsterdam selama dua hari dan waktu berangkat dari Indonesia dalam keadaan sihat, ternyata luka di tangannya cepat sekali merebak dan mengakibatkan keadaan kesihatannya merosot," katanya.

Jenazah beliau dijadual akan diterbangkan pulang pada Isnin (7 Jun) dengan pesawat Garuda Indonesia dan akan langsung dikebumikan di tanah perkuburan keluarga di Makassar, Sulawesi Selatan.

Berita mengenai kematian Andi Meriem menjadi topik di jejaring sosial seperti Twitter dan banyak peminatnya menyampaikan rasa sedih atas kehilangan beliau.

Andi Meriem Mattalatta lahir di Makassar, pada 31 Ogos 1957 dari keluarga ternama.

Nama bapanya Mejar Jeneral Andi Mattalatta, iaitu bekas Panglima Komando Daerah Ketenteraan XIV Hasanuddin, Makassar, telah diabadikan menjadi nama sebuah stadium di Makassar iaitu Stadium Andi Mattalatta Mattoangin Makassar kerana besarnya sumbangan beliau memajukan sukan di kawasan itu.

Andi Meriem pertama kali dijuluki "Mutiara dari Selatan" oleh Iskandar, seorang komposer muzik yang sekaligus menciptakan lagu khusus dengan judul yang sama.

Lagu-lagu popular lain yang dinyanyikannya ialah Cita dan Hasrat, Pasrah dan Cinta Yang Hitam.

Sebelum ini pada Khamis Indonesia juga kehilangan ahli muzik, penyanyi dan penggubah lagu Pance Pondaag kerana penyakit strok yang telah dideritanya selama beberapa tahun terakhir ini.

Pance, 59, yang juga anak kelahiran Makassar, dikenali menerusi lagu-lagu melankolis ciptaannya dan telah banyak melahirkan penyanyi terkenal Indonesia tahun 1980-an seperti Dian Pisesha, Maya Rumantir dan Meriem Bellina.

Lagunya yang pernah merajai muzik Indonesia ketika itu ialah Tak Ingin Sendiri yang didendangkan Dian Pisesha dan Kucari Jalan Terbaik.

Lagu-lagunya pernah dilarang pengedaran oleh kerajaan Soeharto kerana dianggap menyebarkan rasa pesimisme.

Akhir-akhir ini Pance aktif mencipta lagu-lagu rohani. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain