suria

Sybil Kathigasu Dimartabatkan Menerusi Dokumentari, Drama Bersiri

Sharizat melancarkan program televisyen dokumentari dan drama bersiri tentang wirawati negara, Sybil Kathigesu melalui Kempen Suatu Ketika baru-baru ini. - Foto THE STAR Oleh RAJA FAISAL HISHAN
Sharizat melancarkan program televisyen dokumentari dan drama bersiri tentang wirawati negara, Sybil Kathigesu melalui Kempen Suatu Ketika baru-baru ini. - Foto THE STAR Oleh RAJA FAISAL HISHAN
Sharizat melancarkan program televisyen dokumentari dan drama bersiri tentang wirawati negara, Sybil Kathigesu melalui Kempen Suatu Ketika baru-baru ini. - Foto THE STAR Oleh RAJA FAISAL HISHAN

APABILA memperkatakan tentang wirawati yang berjuang mempertahankan negara, nama Sybil Kathigasu jarang-jarang disebut walaupun keberanian, kecekalan dan kesungguhannya menyelamatkan banyak nyawa dari diseksa oleh tentera Jepun tidak dapat dibalas dengan wang ringgit mahupun nyawa.

Di sebalik keadaan berbahaya dan kekejaman tentera Jepun yang menyeksa dan mendera wanita cekal ini, beliau tetap tidak berganjak dari memberi maklumat kepada tentera Jepun sehingga mereka menyerah kalah.

Atas dasar tanggungjawab, Astro dengan bangganya mempersembahkan kisah yang akan memartabatkan salah seorang wirawati yang tidak diendahkan perjuangan dan pengorbanannya dalam mempertahankan negara melalui kempen Suatu Ketika.

Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil telah melancarkan program televisyen dokumentari dan drama bersiri tentang wirawati negara, Sybil Kathigesu melalui Kempen Suatu Ketika pada hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah; Pengurus Saluran Astro Prima, Encik Nizam Sani dan Pengurus Saluran Astro Citra, Shoba Devi.

Dalam kenyataan beliau yang menyokong peranan proaktif yang dimainkan Astro; Shahrizat berkata: “Saya menyokong pihak Astro yang secara tidak langsung telah menaikkan martabat kaum wanita dalam memperjuangkan nasib negara dengan mengetengahkan kisah mendiang Sybil Kathigesu melalui siri program tv yang terkandung dalam kempen Suatu Ketika ini.”

Zainir berkata: “Bermula dengan titik tolak kami memaparkan kisah-kisah tragedi dan lagenda negara seperti Rosli Dhobi, ramai pihak telah membuka mata dan menghargai usaha kami tambah-tambah pula dengan penganugerahan Anugerah Dokumentari Ilmiah Terbaik di Festival Dokumentari Malaysia 2009 melalui kisah Rosli Dhobi pada tahun lepas.

"Sehingga ini, sebanyak sepuluh tajuk telah kami ketengahkan melalui kempen ini. Kesemua tajuk yang kami ketengahkan merangkumi pelbagai genre sejarah seperti mitos dan lagenda, lagenda sukan negara hinggalah penghargaan kepada pihak berkuasa.

"Setiap dokumentari dan drama bersiri yang dilakukan telah menjalani proses penyelidikan yang amat teliti agar penyampaian ceritanya tidak terpesong dari kisah sebenar,” katanya.

Kempen Suatu Ketika ini merupakan sebuah inisiatif dan komitmen Astro dalam memberi sokongan terhadap memperkukuhkan nilai-nilai sejarah di kalangan rakyat Malaysia. Secara tidak langsung, kempen penjenamaan ‘Suatu Ketika’ ini juga dilihat sebagai menyahut seruan negara dalam membina bangsa Malaysia berteraskan nilai dan budaya warisan negara sejajar dengan kehendak ‘1Malaysia’.

Astro terus mengorak langkah dalam inovasi kandungan apabila menyampaikan fakta-fakta sejarah melalui dua elemen iaitu; dokumentari yang menceritakan kejadian sebenar dan drama bersiri yang berpeluang untuk menghuraikan dengan lebih lanjut tentang sejarah yang berlaku tetapi dalam bentuk yang lebih fiksyen.

Dokumentari berjudul ‘Suatu Ketika…Siapa Sybil?’ bakal memberi paparan komprehensif tentang kisah seorang wanita cekal bernama keturunan Serani bernama Sybil Kathigasu yang menetap di Papan, Perak bersama suaminya, Dr. AC Kathigasu semasa zaman penjajahan Jepun.

Beliau telah membantu dengan memberi rawatan secara rahsia kepada kumpulan gerila anti-Jepun pada ketika itu. Beliau juga merupakan satu-satunya perantara berita kepada rakyat Tanah Melayu kerana memiliki radio yang mampu menyebarkan maklumat pada penduduk Papan.

Sybil dan suaminya ditangkap dan diseksa sejurus pihak Jepun berjaya menghidu kegiatan rahsia mereka. Walaupun diseksa teruk, beliau tetap tidak mendedahkan tempat persembunyian pasukan penentang sehinggalah Jepun tewas di medan perang.

Pihak Inggeris yang pada ketika itu tiba di Tanah Melayu telah memberi bantuan dengan menghantarnya ke Scotland bagi menerima rawatan lanjut. Beliau akhirnya meninggal dunia pada 12 Jun 1948 di Scotland.

Sementara itu, bagi memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang sejarah yang disiarkan dalam bentuk dokumentari, kisah Sybil ini juga diceritakan dalam bentuk yang lebih fiksyen berdasarkan penceritaan memoirnya iaitu buku ‘No Dram of Mercy’ ‘ melalui drama bersiri lapan episod yang berjudul ‘Suatu Ketika…Apa Dosaku?’.

Istimewanya drama bersiri ini apabila waris mendiang Sybil sendiri iaitu Elaine Daly memegang teraju utama sebagai Sybil Kathigasu atau dahulunya dikenali sebagai Sybil Daly. Bukan itu sahaja, lokasi penggambaran yang mengambil tempat di daerah asal iaitu di No. 74, Papan di Perak juga telah berjaya mengimbau kembali latar belakang dan suasana sebenar yang berlaku pada zaman itu. Tambah menarik apabila ramai rakyat tempatan di Ipoh, Perak turut bekerjasama bagi menjayakan drama bersiri ini.

‘Suatu Ketika…Apa Dosaku?’ yang diarahkan oleh Bernard Chauly dan diterbitkan oleh Lina Tan ini turut dibintangi oleh pelakon lama dan baru berbakat besar seperti Paranee Damodaran, Beto Kushyairi, Zahiril Azim, Cheryl Samad, Khatijah Tan, Sharin Stepehn, Benus Marie Beals, Lash Mokhtar dan Peter Davis.

Program-program melalui kempen penjenamaan ‘Suatu Ketika’ ini akan ditayangkan di dua buah saluran Astro iaitu Astro PRIMA (saluran 105) dan Astro CITRA (saluran 131).

Astro PRIMA (saluran 105) akan menayangkan dokumentari yang berdasarkan fakta sejarah arahan Zan Azlee berjudul ‘Suatu Ketika…Siapa Sybil?’ pada hari Ahad, jam 6.00 petang, 2 Mei 2010 manakala Astro CITRA (saluran 131) pula akan menayangkan drama bersiri yang akan mempersembahkan drama berisiri berjudul ‘Suatu Ketika…Apa Dosaku?’ pada setiap hari hari Rabu, jam 9.00 malam bermula 5 Mei 2010.

Melalui program-program di kempen Suatu Ketika ini juga, para penonton telahpun disajikan dengan kisah-kisah bersejarah dan personaliti yang terlakar di dalam kisah sirah negara seperti Rosli Dhoby, Si Tanggang, Mahsuri, Mokhtar Dahari, Tragedi Pos Dipang, Laskar Senoi, Puteri Gunung Ledang, Thomas Cup dan ‘Botak Chin’.

Artikel Lain