suria

Norman Lebih Kecewa Bila Pelajar Lemah Kekal Di AF8

Norman meluahkan perasaan kecewanya apabila pengkritik Adlin Aman Ramli memperkecilkan pelajar dan fakulti AF8 ketika sidang media kelmarin di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.
Norman meluahkan perasaan kecewanya apabila pengkritik Adlin Aman Ramli memperkecilkan pelajar dan fakulti AF8 ketika sidang media kelmarin di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.
Norman meluahkan perasaan kecewanya apabila pengkritik Adlin Aman Ramli memperkecilkan pelajar dan fakulti AF8 ketika sidang media kelmarin di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

AGAK mengecewakan apabila fakulti dan pelajar Akademi Fantasia (AF) 8 diperkecilkan!

Begitulah perasaan yang lahir dari hati pengetuanya, Norman Abdul Halim apabila pengkritik tetap, Adlin Aman Ramlie mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah memperkecilkan mereka.

“Saya berjanji bahawa saya akan melahirkan sekurang-kurangnya enam bintang dalam tempoh setahun hingga tiga tahun ini,” tekad pengetua af8 ini ketika sidang media selepas Anum tersingkir daripada program itu kelmarin.

Jelasnya, AF8 turut menerima pelajar yang datang dari luar bandar. Jadi, bukan mudah untuk membentuk mereka dalam masa tiga minggu ini.

“Jika bercakap tentang kelainan, jangan kata AF8 tiada kelainan. Memanglah AF telah memasuki musim kelapan, tetapi pengkritik tidak sepatutnya menganggap seolah-olah pelajar-pelajar ini sudah lapan tahun berada dalam industri,” katanya.

Lantas dia agak kecewa berhubung penyingkiran tanpa dijangka Anum atau nama sebenarnya Dayang Nor Anum Arjuna Aharun, 19.

“Persaingan agak sengit dan mereka mempunyai bakat semulajadi masing-masing. Cuma tenaga pengajar perlu memberikan lebih latihan dan bimbingan kepada mereka.

“Saya rasa Anum tidak mengecewakan saya cuma saya terkilan apabila dia tidak menyanyi di hujung lagu. Tetapi keseluruhannya dia menunjukkan persembahan yang menarik dan tidak layak keluar pada minggu ini (minggu ketiga).

“Apabila difikirkan semula, penyingkiran ini sudah menjadi perkara biasa yang akan berlaku pada setiap minggu. Jadi, saya perlu menerima hakikat,” jelas Ketua Pengarah Kumpulan KRU Studios itu.

Lebih mengecewakan Norman apabila pelajar yang sepatutnya tersingkir, masih lagi kekal berada dalam akademi. Jika diikutkan, kata Norman, pelajar yang menunjukkan prestasi merosot itu perlu disingkirkan.

“Sepanjang tiga minggu ini, saya lihat ada pelajar yang tidak praktikkan pembelajarannya di atas pentas. Sebenarnya, pelajar ini yang telah merosakkan nama AF8.

“Siapa dia, biarlah rahsia sebab saya tak nak penonton akan mengundi pelajar ini kerana kasihan,” katanya.

Mungkinkah akan ada Afundi Masuk (AF Masuk)? Namun, Norman menegaskan dia tidak menggemari Afundi Masuk. Katanya, ‘kalau dah keluar tu, keluarlah’.

“Astro punya keputusan mereka sendiri. Jadi kita lihat sahaja apa yang akan berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Bayangkan, umur pelajar yang kini sudah tinggal sembilan orang itu kebanyakannya muda-muda belaka dan yang paling tua pun berusia 27 tahun.

Norman berkata, ada yang tidak konsisten dan memberikan komitmen kepada persembahan masing-masing.

Ada yang melakukan persembahan yang lebih baik semasa raptai berbanding konsert sebenar.

“Mungkin mereka gugup. Tetapi saya sudah berpesan, semasa konsert tiada alasan untuk mereka membuktikan kehebatan,” tuturnya.

Menyentuh tentang pemilihan lagu yang dikatakan kurang bersesuaian dan kurang mencabar kepada pelajar, dia menjawab mereka melihat lagu yang popular di corong radio selain lagu evergreen dan lagu Inggeris yang turut digemari oleh setiap peringkat umur.

“Memang saya akan berikan cabaran nanti kerana pada minggu keempat, kami akan bentuk aliran muzik yang sesuai,”

Dalam pada itu, Anum menerima penyingkirannya dengan hati yang reda. Sejak pertama kali menyertai AF8, dia terima apa sahaja rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

“Sedih tu memanglah sedih tetapi apa boleh buat. Saya tidak terlalu kecewa kerana sekurang-kurangnya saya berjaya kekal di AF8 sehingga konsert minggu ketiga,” luah pelajar yang berasal dari Tawau, Sabah itu.

Walaupun ramai yang memuji persembahannya pada minggu lalu, dia tidak pernah mendabik dada sekaligus menganggap semuanya sama hebat.

“Jika dulu, saya merasakan Shah merupakan pesaing terdekat saya tetapi sekarang tiada lagi,” katanya yang akan merindui rakan karibnya di AF8 seperti Adira, Iwan dan Daus.

Jika berpeluang menerbitkan album, Anum lebih selesa membawakan genre rock.

Artikel Berikut

AF 8: Anum Tersingkir

Artikel Lain