suria

Karya Natrah Akan Dikembangkan Ke Layar Perak

Fatini ketika pelancaran naskhah Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu.
Fatini ketika pelancaran naskhah Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu.
Fatini ketika pelancaran naskhah Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu.

BIARPUN baru dipentaskan dalam bentuk teater, kisah berdarah Natrah tetap menarik untuk disajikan sebagai filem.

Hasrat ini disuarakan oleh penulis biografi, Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata, Datin Seri Fatini Yaacob, yang juga Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini.

Fatini bercadang menerbitkan filem mengenai Natrah tahun depan demi kepentingan sejarah, bangsa dan agama.

“Saya sedar, saya bukanlah pakar dalam bidang perfileman namun saya akan cuba mencari golongan profesional dalam bidang ini bagi membantu saya merealisasikan hasrat ini,” katanya yang turut bercadang untuk mementaskan semula teater Natrah walaupun ia baru sahaja dilakukan di Istana Budaya baru-baru ini.

Bagi Fatini, bukanlah keagungan dan kemasyhuran yang dikejar dalam perjalannya ‘mencari’ Natrah.

Ujarnya, keikhlasan hati adalah kunci disebalik kejayaannya hari ini.

Pastinya generasi hari ini yang belum 'mengenali' Natrah akan tertanya-tanya siapa itu Natrah? Mengapa namanya begitu sebati dengan sejarah dan perjuangan bangsa Melayu serta umat Islam? Kisah Natrah begitu hebat, menyentuh emosi, penuh air mata malah mencetuskan tragedi berdarah yang memberikan impak yang cukup besar kepada generasi hari ini.

Tentunya orang yang lebih arif tentang subjek ini ialah Fatini, yang bertanggungjawab mengkaji kisah suka dan duka wanita bernama Natrah.

Peluang mendekati Fatini bagi merungkai perjalanannya menghasilkan buku yang baru dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu, memberi persepsi baru tentang Natrah dari kaca matanya.

Secara peribadi, Fatini berkata, Natrah tidak begitu penting.

“Saya terlalu lama dengan Natrah, malah saya mengenalinya secara peribadi oleh itu bagi saya Natrah tak ada nilai yang boleh diangkat.

“Saya anggap tiada apa yang istimewa tentang Natrah, dia hanya manusia biasa yang tak ada nilai, tak patut kita hargainya secara berlebihan,” ujar Fatini sewaktu ditemui dikediamannya baru-baru ini.

Menurut Fatini, sebagai insan yang begitu mengenali Natrah - mungkin melebihi wanita itu sendiri - Natrah disifatkan ‘sesat dalam rasa dan sesat dalam pemikiran’ sehingga penghujung hayatnya.

Jelas beliau, tidak ada aura atau roh yang kuat terpasak dalam diri wanita itu melainkan kasih sayang terhadap orang di sekelilingnya khususnya bekas suami, Mansor Adabi.

“Bukan saya nak menghina Natrah, tapi sejak peristiwa rusuhan pada tahun 1950, iaitu ketika dia berusia 13 tahun sehingga hujung hayatnya... dia hanya menyesali kisah hidupnya, hanya meratapi kisah malangnya,” jelas Fatini.

Perbicaraan dan rusuhan

Hebatnya kisah wanita Belanda itu ialah kerana berlakunya pertikaian antara keluarga asalnya yang berketurunan Belanda dengan ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad dari Kemaman, Terengganu, sehingga mencetuskan rusuhan pada 1950 di Singapura.

Namun baginya, elemen lebih penting yang perlu diangkat dalam kisah Natrah ialah kesedaran orang Melayu mempertahankan kesucian Islam dan kebangkitan orang Melayu sebagai bangsa yang bermaruah.

Jelasnya, naskhah Natrah pastinya ‘kosong’ jika soal kesucian Islam dan maruah orang Melayu tidak ‘dijentik’ serta dipermainkan.

Menurutnya dalam isu wanita itu, kisahnya menjadi besar dalam ingatan masyarakat antarabangsa sehingga kini kerana ia mencakupi dua isu penting di dalamnya iaitu perbicaraan dan rusuhan.

“Selain daripada itu, isu Natrah ikut menjadi besar dan hebat kerana ada pelbagai unsur pertembungan di dalamnya iaitu antara negara penjajah dengan yang dijajah; Islam dan Kristian; budaya Barat dan Timur selain antara perkahwinan kulit putih dengan berwarna.

“Kesemua unsur ini bergabung menjadi ramuan yang cukup dramatik dan menyayat hati apabila cinta Mansor-Natrah menjadi bahan pertaruhan dalam perbicaraan hak penjagaan Natrah,” katanya.

Bagi Fatini, salah satu tujuannya menghidupkan kembali kisah Natrah selepas 60 tahun berlalu ialah untuk membangkitkan rasa cinta kepada agama, bangsa dan tanah air.

“Bagi saya semua orang Islam perlu bersatu, sama ada perlu berada dalam pihak kiri atau kanan dalam politik lebih-lebih lagi bila mensabitkan soal maruah agama yang dipermainkan,” ujarnya tegas.

Katanya lagi, pengajaran yang mahu disampaikan untuk generasi hari ini ialah bagaimana semangat para pemimpin Melayu walaupun berlainan fahaman politik bersatu demi mempertahankan imannya.

“Semangat para pemimpin ini bersatu dengan rasa kasih orang Melayu dan Islam dari pelbagai lapisan dan latar belakang terhadap iman Natrah serta agamanya,” katanya.

Ketinggian Cinta Mansor Adabi

Tiada cinta yang lebih suci dan murni selain daripada cinta terhadap Tuhan yang Maha Esa. Pada dasarnya umum mengetahui kisah cinta Natrah-Mansor cukup menyayat hati.

Sepanjang menyelidik kisah berdarah itu sejak 20 tahun lalu, Fatini berkata, episod paling menyentuh hatinya ialah kesucian cinta Mansor dan Natrah yang tidak pernah padam walaupun terpaksa menerima ketentuan takdir yang memisahkan mereka.

“Saya tahu Mansor sangat cintakan Natrah, namun beliau sedar cintanya itu perlu ‘dikembalikan’ kepada Allah.

“Beliau menerima takdir itu dengan hati yang mulus kerana menyedari segala-galanya telahpun ditentukanNya,” tutur Fatini.

Dalam melengkapkan karyanya, kata beliau, detik yang tidak dapat dilupakan ialah pertemuannya dengan Mansor kerana sehari selepas itu lelaki berkenaan meninggal dunia.

“Saya hanya sempat menemubual Mansor selama dua jam, dia memberikan saya tiga buah fail miliknya yang berisi surat dan catatan perjuangnnya untuk mendapatkan kembali Natrah.

“Saya bercadang untuk menemuinya semula selepas selesai membaca kandungan fail berkenaan, tapi alangkah sedihnya apabila hasrat itu tidak kesampaian kerana Mansor meninggal dunia keesokan harinya iaitu pada 14 Oktober 1988,” katanya.

Pesan Fatini, generasi muda hari ini diharap mengambil iktibar daripada kisah itu kerana menurutnya kita masih belum terlambat untuk bertindak.

“Saya berharap generasi muda mengambil iktibar daripada sejarah ini, kita perlu faham undang-undang sivil dan syariah serta hak kekeluargaan,” katanya.

Kembangkan karya Natrah

Bagi Fatini, beliau tidak mahu mesej di sebalik kisah kontroversi Natrah ini terhenti setakat penerbitan buku tersebut.

Menyedari masih banyak nilai dalam wanita itu yang perlu dikongsi dan dirungkaikan untuk generasi akan datang, Fatini bercadang menerbitkan sebuah lagi buku yang akan mengupas mengenai pengajaran di sebalik kisah Natrah.

“Mungkin saya akan usahakan untuk menulis buku yang mengupas mengenai pengajaran yang boleh kita kutip dalam kisah penuh tragis ini.

“Tapi tunggulah dulu, insya Allah dalam tahun depan,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain