suria

Zed Zaidi Sanggup Tonton Niyang Rapik Tujuh Kali

AKTOR kacak Zed Zaidi mengaku sudah menonton filem lakonannya Niyang Rapik sebanyak tujuh kali semata-mata untuk melihat reaksi penonton.

Menurut Zed, perkara tersebut bagaikan satu rutin untuknya menonton serta memantau reaksi orang ramai terhadap lakonannya.

"Memang sudah jadi tabiat saya untuk menonton filem yang saya lakonkan sendiri beberapa kali untuk melihat reaksi penonton. Saya nak tengok sama ada lakonan tersebut berjaya memberi kesan kepada penonton atau tidak.

"Dengan cara itu juga saya dapat memperbaiki sedikit sebanyak mutu lakonan saya," ujar jejaka berusia 30 tahun ini.

Sementara itu, Zed turut memberitahu filem Niyang Rapik merupakan filem terbaik yang pernah dilakonkannya dan mempunyai kelainan tersendiri berbanding filem yang pernah dilakonkan sebelum ini.

"Filem ini merupakan filem terbaik bagi saya. Skrip dan jalan cerita yang kuat memberi kelainan kepada filem seram yang lain. Penonton akan sentiasa berfikir sehingga penghujung cerita.

"Selain itu, pengarah Ahmad Idham juga seorang yang sangat kreatif dan mudah untuk bekerja dengan dia. Secara rumusannya saya dapat bekerja dengan sebuah pasukan yang sangat bagus," ujar jejaka ini.

Zed juga memberitahu bahawa dia terpaksa menghentikan beberapa penggambaran drama untuk meneruskan hajatnya menunaikan ibadat umrah pertengahan bulan ini.

"Saya sudah lama berniat untuk mengerjakan ibadat umrah dan semalam secara kebetulan, saya dipelawa seorang rakan untuk pergi membuat umrah bersama.

"Jadi saya membuat keputusan untuk menangguhkan semua kerja dan penggambaran bagi memberi tumpuan kepada ibadah umrah selama 10 hari.

"Saya ingin berdoa agar dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusan dan kalau boleh dapat jodoh," ujarnya sambil tersenyum.

Pelakon yang turut memegang jawatan Biro Seniman Muda ini turut memberitahu bahawa dia secara sukarela mahu memperjuangkan nasib artis-artis di Malaysia terutamanya artis muda.

"Saya tidak rasa terbeban dengan tanggungjawab yang saya pikul sekarang malah saya rasa gembira kerana diberi peluang untuk membela dan memperjuangkan artis-artis Malaysia," jelasnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain