suria

Vince Hanya Pasangan Duet, Bukan Kekasih - Joanna Rampas

BEBERAPA minggu lalu, timbul desas-desus yang mengatakan Juara Akademi Fantasia 1 (AF1), Vince dan Bintang RTM 2009, Joanna Henley Rampas kini semakin intim dan sedang hangat bercinta.

Bagi mendapatkan kesahihan, mStar Online lantas menghubungi kedua-dua anak muda ini untuk mendapatkan kenyataan mereka.

Walaupun Vince gagal dihubungi, kenyataan daripada Joanna berhubung dakwaan itu sekurang-kurangnya dapat menjelaskan situasi yang sebenar.

Menurut gadis berusia 21 tahun ini, hubungannya dengan Vince adalah berlandaskan hubungan profesional antara teman artis.

Malah, Jo-Anna yang menganggap Vince seperti seorang abang, mengakui dia hanya mengenali Vince sejak diundang sebagai pasangan duet dalam album terbarunya, Kronologi Cinta.

"Saya terkejut apabila terbaca mengenai artikel itu di sebuah akhbar mingguan baru-baru ini.

"Tapi, selepas beberapa ketika saya mula faham gosip itu timbul disebabkan kerjasama yang terjalin antara saya dan Vince untuk album barunya.

"Orang di luar sana yang tidak mengetahui perkara sebenar boleh bercakap apa sahaja. Hakikatnya hanya saya saja yang tahu.

"Terus-terang saya katakan di sini, saya memang tiada sebarang hubungan istimewa dengan Vince," katanya.

Menepis spekulasi yang timbul, gadis berketurunan Inggeris-Dusun ini berpendapat bahawa dakwaan tidak berasas itu tercetus ekoran pendedahan Vince yang baru saja putus cinta, sebelum itu.

Lantas, keakrabannya dengan penyanyi yang popular dengan lagu Percayalah Sayang itu disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak.

"Macam manalah saya boleh bercinta dengan Vince, sedangkan saya baru saja mengenalinya untuk urusan projek duet ini.

"Lagipun, kami hanya bertemu untuk proses rakaman dan promosi albumnya saja, tidak lebih daripada itu.

"Ingin saya tegaskan di sini, saya dan Vince hanyalah pasangan duet untuk albumnya dan bukan pasangan kekasih seperti mana yang didakwa," katanya yang berduet dalam lagu Ajarku Cinta.

Sebelum menamatkan perbualan, Joanna sempat diusik adakah dia akan mempertimbangkan Vince sebagai lelaki pilihannya sekiranya terbit keserasian dan jodoh antara mereka.

Pelajar jurusan Undang-undang di sebuah kolej swasta itu berkata, perkara itu langsung tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini.

Tambah Joanna lagi, dia tidak begitu mengenali Vince secara peribadi melainkan atas urusan kerja sahaja. Justeru, dia tidak dapat memberi sebarang jawapan pada pertanyaan itu.

"Jodoh adalah ketentuan Tuhan dan tidak mungkin saya dapat menolak apa jua ketentuan yang tertulis buat saya.

"Jika ditanya adakah Vince menepati ciri-ciri lelaki idaman saya, perkara itu tidak dapat saya ulas lanjut.

"Lagipun, saya tidak begitu mengenali keperibadian Vince. Saya hanya berurusan dengannya atas dasar kerja," jawabnya ringkas.

Artikel Lain