suria

Erma: Ellie Biadap, Perlu Kawal Emosi!

Erma berpuas hati dengan sambutan penonton yang tidak mengecewakan. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNI
Erma berpuas hati dengan sambutan penonton yang tidak mengecewakan. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNI
Erma berpuas hati dengan sambutan penonton yang tidak mengecewakan. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNI

SETELAH semuanya reda, barulah pengarah dan penerbit teater Antara… Erma Fatima bersuara dan membalas kata-kata bekas pengarah teater itu, Ellie Suriati.

Sebelum ini, Erma enggan membalas kenyataan Ellie kerana tidak mahu mengaibkan orang lain.

Tambahnya lagi, dia tidak perlukan publisiti murahan untuk menaikkan teater itu sewaktu dipentaskan pada 26 hingga 28 Februari lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Baginya, dia menghormati Ellie seperti adiknya sendiri dan disebabkan itu dia melantik wanita itu sebagai pengarah. Sementara dia pula menggalas tanggungjawab sebagai penerbit.

Semuanya tercetus gara-gara Ellie merasakan dirinya ibarat ‘kuda tunggangan’ Erma. Lantas, Ellie mengambil keputusan menarik diri sebagai pengarah teater itu.

Semalam, Erma dalam nada sinis membalas kata-kata Ellie yang menganggap dirinya telah diperkudakan.

“Kalau dia kata saya perkudakan dia, dia kuda jenis apa untuk saya tunggang-tunggang. Kuda kelas 'A' ke?

“Saya tak perlu tunggang dia kerana tanpa dia, teater Antara… mungkin akan lebih dari itu. Kalau dia Faridah Merican atau Rosminah Tahir, tidak mengapa untuk bercakap seperti itu,” jelasnya dalam nada tegas.

Pengarah teater Natrah itu juga menjawab, dia terpaksa bertelingkah idea dengan isteri pelakon Azri Iskandar itu kerana tidak mengikut kehendak skrip yang ditulis olehnya.

“Pada 22 Februari lalu, apabila saya masuk panggung, ada bahagian yang dia tak buat lagi sedangkan lagi empat hari kita sudah hendak pentaskan. Dia juga tidak buat latihan dengan pelakon.

“Sepatutnya, dia dah jelas dan sudah boleh buat blocking. Bohonglah kalau kata saya mengacau dia mengarah.

“Sedangkan dua kali sahaja saya pergi ke panggung sari. Pertama kali semasa Azizah Mahzan hendak berjumpa dengan saya untuk jelaskan tentang wataknya dan kali kedua untuk melihat ‘run through’ teater itu,” kata kakak kepada pelakon Umie Aida itu.

Erma menegaskan, dia agak terkejut apabila melihat beberapa bahagian yang berterabur. Misalnya semasa babak Pendosa-pendosa yang berada di belakang ketika menyebut dialog ‘Lailahaillah anta…’.

“Saya nak Pendosa-pendosa itu berada di depan. Selain itu juga, dia suka membuat eksperimen seperti mahukan pelakon bercakap sambil memusing-musingkan badan.

“Saya bukannya nak buat teater eksperimental tetapi yang ‘straight forward’ kerana mahu berdakwah.

“Selepas saya menegur, berkali-kali dia mengugut saya untuk menarik diri dan mahukan saya mengarah teater itu sendiri.

“Dia biadap apabila mengatakan dia kuda tunggangan saya,” kata Erma.

Bagaimanapun, dia tidak menyalahkan Ellie sebaliknya menyalahkan dirinya sendiri berikutan insiden yang berlaku tempoh hari.

“ Sebelum ini saya sudah tahu perangai dia tetapi saya tetap berkeras untuk mengambilnya kerana menganggap saya boleh mengendalikannya.

“Apa pun yang berlaku, saya tetap bersalah kerana memilih dia. Saya juga sudah maafkan dirinya tetapi dia perlu kawal emosinya. Saya menganggap perkara ini sebagai suatu pengajaran untuk masa hadapan,” ujarnya yang belum menetapkan sama ada masih terbuka untuk bekerjasama lagi dengan Ellie atau tidak.

Erma berkata, dia sedang dalam perangkaan untuk mementaskan teater Natrah buat kali kedua dalam tahun ini.

Artikel Lain