suria

Detektif Era Heret Artis 'Bermasalah' Ke Konti

Azwan membongkar rahsia Didie Alias dan Ifa Raziah menerusi program Detektif Era di konti radio Era FM.
Azwan membongkar rahsia Didie Alias dan Ifa Raziah menerusi program Detektif Era di konti radio Era FM.
Azwan membongkar rahsia Didie Alias dan Ifa Raziah menerusi program Detektif Era di konti radio Era FM.

PASTI ramai terkejut dengan pengakuan eksklusif selebriti yang dibuat ‘secara paksa rela’ menggunakan mesin lie detector dalam program Detektif Era di segmen Riuh Pagi Era.

Selebriti ‘bermasalah’ ini umpama berada dalam kandang saksi mahkamah bagi sesi ‘soal balas peguam’.

Antara pendedahan berani yang pernah tersiar ke udara dalam program ini, bermula Januari tahun ini. Tahukah anda penyanyi Marsha Londoh pernah jatuh hati dengan pengacara terkenal Aznil Nawawi dan bukannya Yusri KRU seperti yang pernah disensasikan selama ini.

Pelawak Saiful Apek pula tercabar dengan kemunculan Nabil Raja Lawak dan Fazli Zainal bersolek bukan kerana kecelaruan gender tetapi kerana ingin dilihat menarik untuk industri hiburan.

Namun tidak kurang juga selebriti yang mungkin menggelabah di saat akhir bertindak meninggalkan konti sebelum waktu.

Nama di atas hanya sebahagian daripada nama selebriti popular yang sporting dan berani diuji oleh lie detector dengan soalan panas yang ditanya dua detektif Era, Aznil Nawawi dan Azwan Ali.

Menurut Pengurus Program Era, Nazri Noran, program ini sebenarnya mula diperkenalkan radio HitzFM tiga tahun lalu tapi ‘mangsanya’ adalah pendengar.

Detektif Era mulanya dikendalikan sepenuhnya oleh Aznil dan Din Beramboi, sementara proses penyeliaan dibuat oleh Pakar Poligrafi, Akbar Satar dari Akbar & Associates. Selebriti yang telah disoal siasat oleh Aznil ialah Fahrin Ahmad, Norman KRU, Saiful Apek dan Marsha Londoh.

Namun, sejak 17 Februari, tugasan sebagai Detektif Era diambil alih oleh Azwan Ali. Azwan pula membongkar rahsia Fazli Zainal, Fizz Fairuz, Mawi, Didie Alias dan Ifa Raziah.

“Ketika Aznil mengelolakan program ini, dia agak compassionate dan supportive. Mungkin karakternya sedemikian, jadi dia mencadangkan kita beri tugas menyiasat ini kepada Azwan Ali kerana dia sudah biasa dan mempunyai track record mengelolakan rancangan sebegini dulu,” jelas Nazri.

Menurut Nazri, ramai selebriti popular terutama wanita agak skeptikal dan tidak berani ambil bahagian dalam program itu. “Ramai juga artis yang tidak senang dengan kaedah mesin lie detector yang digunakan. Ada yang memberi bermacam-macam alasan untuk mengelak daripada turut serta.

“Mungkin kerana kebanyakan soalan berkisarkan hal peribadi dan kisah di sebalik peristiwa yang mengheret mereka ke kancah kontroversi,” kata Nazri.

Jelasnya lagi, mesin ini memantau seseorang melalui reaksi fisiologi dan perubahan dalam tubuh.

Kiranya ‘mangsa’ berbohong, lie detector akan mengesan kebohongan dari sistem gelombang. Bila seseorang bohong, gelombang akan bergetar cepat. Sebaliknya, jika seseorang itu jujur, gelombang tidak bergetar dengan cepat dan tiada perubahan.

Menurut pengamatan Nazri, hanya beberapa nama saja lulus dengan cemerlang. Norman KRU lulus semua soalan dan mendedahkan dia tidak pernah menyimpan dendam terhadap adik-adiknya.

Begitu juga dengan Cat Farish yang berkata benar tentang kenapa beberapa anggota wanita meninggalkan kumpulannya.

“Fazli Zainal jujur ketika menjawab soalan kenapa dia guna mekap untuk membantunya dalam industri. Tapi bila ditanya sama ada dia ada teman, Fazli berbohong berkata belum ada. Dia sendiri keliru kenapa mesin lie detector mengatakan dia berbohong.

“Saiful Apek hanya lulus borderline saja. Dia cuba menyembunyikan perasaan sebenarnya bila ditanya adakah dia rasa tercabar dengan kehadiran muka baru seperti Nabil.

“Yang paling menarik ialah pelawak komedi Abon. Sesinya begitu emosi kerana dia benar-benar tertekan dan terasa pelawak dipinggirkan,” jelas Nazri yang teruja bila diberitahu Detektif Era akan dijadikan program TV di Astro tidak lama lagi.

Kata Nazri, “Selain bahasa tubuh, ekspresi wajah artis yang disoal siasat memberi gambaran apa sebenarnya yang bergolak di hati mereka.”

Bagi Azwan pula, mengendalikan segmen Detektif Era merupakan satu pengalaman yang menarik dan lucu.

“Soalan siasatan tentang isu karier, peribadi dan kontroversi disediakan pihak radio Era dan saya hanya menokok tambah bila perlu.

“Semua artis lulus siasatan Detektif Era walaupun rata-rata mereka terperangkap dengan isu panas dalam soalan. Ada di antara mereka dikesan sebagai pembohong, jawapan kabur dan tidak yakin! Ada juga artis yang terus enggan menjawab dan minta soalan dibatalkan dari siaran,” jelas pengacara terkenal ini.

Tambah Azwan lagi,”Segmen Didie Alias paling menyentuh hati hingga berderai air mata bila disiasat isu diperdaya kawan baik.

“Artis lain tidak kurang hebat aksi dan telatah mereka. Saya pilih segmen Mawi antara yang paling menarik. Mawi tenang menjawab semua “soalan maut” terhadapnya termasuk isu Ekin.

“Ifa Raziah pula paling menggamatkan rakaman dan sempat “melaserkan” saya dalam isu gaduh mereka di Anugerah Bintang Popular.”

Walaupun ramai artis ‘berani-berani lalat’ untuk menghadapi siri pengesanan pembohongan ini tapi seperti kata Nazri, peluang yang diberi oleh program Detektif Era bertujuan untuk membersihkan nama artis “bermasalah”.

“Rata-rata ‘mangsa’ yang sudah melalui sesi ini berasa lega kerana diberi peluang bercerita kisah sebenar di sebalik tabir kehidupan. Ini dapat membersihkan nama mereka,” jelas Nazri yang turut memberitahu kesemua segmen Detektif Era sudah ada dan akan dimuatkan di laman YouTube.

Artikel Lain