suria

Lebih 25 Negara Mahu Tayang 'Hikayat Merong Mahawangsa'

Norman ketika majlis doa selamat filem Hikayat Merong Mahawangsa pada tahun lalu.
Norman ketika majlis doa selamat filem Hikayat Merong Mahawangsa pada tahun lalu.
Norman ketika majlis doa selamat filem Hikayat Merong Mahawangsa pada tahun lalu.

FILEM terbaru arahan Yusry Abdul Halim, Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) khabarnya sedang mendapat sambutan hangat di Berlin.

Filem tersebut dijangka akan ditayangkan di pawagam tempatan pada hujung tahun ini.

Penerbit Norman Abdul Halim menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online berkata:

“Alhamdulillah, filem bergenre aksi dan epik Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios telah mendapat sambutan hangat di European Film Market, Berlin yang berlangsung dari 11 hingga 21 Februari ini.

“Setakat ini, hak pengedaran untuk filem HMM telah terjual di lebih 25 buah negara termasuk di United Kingdom, Perancis, Jerman, Russia dan negara-negara Timur Tengah."

Ketua Pengarah Kumpulan KRU Studios itu menganggap kejayaan itu telah menjadikan HMM sebagai filem terbitan tempatan yang paling berjaya dari segi penjualan antarabangsa setakat ini.

“Pihak kami yakin HMM akan terus mendapat sambutan dan meningkatkan lagi penjualan di negara-negara lain apabila dipasarkan di Hong Kong Film Mart bulan depan, Cannes Film Festival (Mei) dan American Film Market di Los Angeles (November),” tambahnya.

Sebelum mengakhiri kata-katanya, Norman mewakili KRU Studios sempat merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam filem itu.

“KRU Studios ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi kerana membiayai sebahagian daripada kos penerbitan HMM melalui geran e-Content.

“Segala sokongan rakan-rakan media didahului dengan ucapan ribuan terima kasih,” ujarnya.

Filem HMM dijangka menjadi filem termahal terbitan KRU Studios kerana telah membelanjakan puluhan juta ringgit.

Filem yang mengambil rujukan kisah sejarah Hikayat Merong Mahawangsa itu menggunakan kostum seperti topi dan baju besi serta props yang diimport dari Amerika Syarikat dan China.

Ini kerana filem yang menggunakan latar masa kurun kedua itu berkisar tentang Empayar Rom dan China mengikut buku sejarah hikayat itu.

Menyentuh tentang para pelakon, HMM menggunakan lima pelakon asing iaitu tiga dari United Kiongdom manakala masing-masing seorang dari Sweden dan Australia sementara yang selebihnya adalah pelakon tempatan.

Mereka adalah Stephen Rahman Hughes, Jing Lu, Gavin Stenhouse, Henrik Norman, Wan Hanafi Su, Khir Rahman, Datuk Rahim Razali, Ummi Nazeera, Nell Ng, Craig Fong, Keith Chong, Jehan Miskin, Cat Farish, Deborah Henry, Ravi Sunderlingam, Kuswadinata, Mano Maniam, Cico, Vanida Imran dan Faiz Aizuddin Azmi (pemenang Drama Pendek ERA).

Bercerita lanjut mengenai filem yang menggunakan banyak teknik Computer Generated Imagery (CGI) itu, ia telah menjalani pengambaran dengan menggunakan 90 peratus lokasi di Terengganu seperti Setiu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu termasuk Kuantan, Pahang.

Selain itu, filem itu telah menggunakan empat buah kapal yang diubah suai daripada bot oleh seorang pakar sejarah dalam bidang perkapalan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain