suria

Linda, Que Bercuti Ke AS Selepas AF8

Linda dan Que dalam sebuah majlis di Saloma Bistro baru-baru ini. - Foto ehsan LINDA
Linda dan Que dalam sebuah majlis di Saloma Bistro baru-baru ini. - Foto ehsan LINDA
Linda dan Que dalam sebuah majlis di Saloma Bistro baru-baru ini. - Foto ehsan LINDA

PASANGAN suami isteri, Que Haidar dan Linda Jasmine yang dilantik sebagai tenaga pengajar Akademi Fantasia Musim Kelapan (AF8) bakal berlepas ke Amerika Syarikat (AS) selepas melunaskan tugas mereka itu pada Mei depan.

Mereka bercadang untuk ke negara itu kerana mahu melawat abang dan kakak Linda, tambahan pula Que tidak pernah menjejakkan kaki ke sana.

Percutian mereka tidak lengkap jika putera dan puteri mereka iaitu Qalif Khan dan Tengku Ratu Haidar tidak turut serta bersama-sama bagi menghabiskan cuti kira-kira dua minggu.

Memandangkan hari mereka berlepas masih lama lagi, jadi buat masa ini biarlah kedua-duanya memfokuskan ilmu yang akan diturunkan kepada pelajar-pelajar AF8 terlebih dahulu.

Sejujurnya, Linda mengakui dia tidak pernah bersedia untuk berdepan dengan AF8.

Bak kata salah seorang alumni AF, Nadia, ‘Redah Je!’. Kata Linda, sama juga seperti dia dikurniakan anak.

Apabila dia disahkan hamil, bersedia atau tidak, Linda berkata, dia perlu berhadapan dengan situasi itu dengan sebaik yang mungkin.

Jadi, apabila ditanya apa persediaan yang dilakukan setelah dibawa masuk semula sebagai guru tarian AF8, Linda hanya menjawab: “Saya akan buat yang terbaik. Kalau tak, sampai bila-bila pun saya tidak akan terima tawaran itu.”

Sebetulnya hajat di hati mahu menguruskan badan sebelum AF8 bermula, tetapi setakat ini belum mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

“Saya rasa cabaran kali ini lebih tinggi kerana saya bukan sekurus dan semuda dahulu. Tambahan pula sekarang saya sudah bersuami... banyak lagi perkara lain yang mencabar kerana sekarang sudah AF8.

“AF banyak cabarannya. Misalnya penari tiba-tiba cancel untuk menari dan apabila muzik bertukar, saya perlu mengubah step tarian yang telah ditetapkan.

“Jadi, apabila saya tiada masa untuk membuat senaman, saya hanya amalkan diet bagi mengurangkan berat badan. Ini kerana saya tidak percayakan rawatan merampingkan badan dan ubat kurus,” ujarnya yang tidak menang tangan dengan urusan keluarga dan kerjayanya.

Rutin hariannya padat dengan beberapa majlis jemputan, sesi fotografi, menguruskan studionya, Linda Jasmine Performing Arts Studio Sdn Bhd di Ampang dan bayi kecilnya.

Kemungkinan pada Julai nanti, Linda akan terlibat dengan pertandingan menari yang disiarkan di Disney Channel selama beberapa bulan.

“Saya mungkin akan menjadi juri dan perunding program itu. Pengacara Najib Ali dari Singapura juga akan terlibat bagi mewakili negara itu dan beberapa orang lagi yang mewakili beberapa negara Asia.

“Pertandingan itu akan menggunakan lagu ala-ala High School Musical melibatkan peringkat sekolah, negeri sehingga negara,” kata Linda yang menyambut ulang tahun perkahwinannya yang pertama semalam.

Dia dan Que bernikah pada 14 Februari 2009 dan dikurniakan Ratu pada 26 Oktober 2009.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain