suria

Yasmin Hati-hati Kenalkan Kekasih, Tak Mahu Ditertawakan Lagi

SETELAH berpisah dengan teman lelakinya sejak 10 bulan lalu, pengacara dan pelakon, Yasmin Hani Ismail Richardson, 31, kini lebih berhati-hati untuk memperkenalkan kekasih kepada pihak media.

Menurut Yasmin, pengalaman lalu telah mengajarnya untuk lebih berahsia kerana tidak mahu lagi kisah cintanya ditertawakan masyarakat.

"Selepas berpisah tahun lalu saya banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan dan keluarga. Buat masa ini, saya lebih selesa hidup sendiri.

"Dua tahun bercinta, apa yang tidak saya lalui. Kami pernah menghadapi gosip-gosip dan dugaan yang menguji kami, mungkin sudah ditakdirkan kami tiada jodoh. Saya tak mahu ingat kembali kisah yang menyakitkan itu.

"Saya juga lebih berhati-hati untuk memperkenalkan kekasih kepada pihak media. Kini saya faham kenapa segelintir artis tidak mahu mendedahkan pasangan mereka kerana tak mahu masyarakat akan tertawakan bila berlaku perpisahan.

"Bila bercinta semuanya indah-indah, bila putus orang ketawakan kita. Lebih baik saya berdiam diri. Saya dah malas ditertawakan lagi.

"Saya rasa malas nak bercinta lagi. Saya bosan untuk memulakan sesebuah hubungan tapi kesudahannya, putus. Sekarang saya belajar berserah kalau ada, adalah. Saya malas nak mencari," ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Yasmin dia tidak menolak jika telah ditetapkan jodohnya dalam masa terdekat ini.

"Namun saya tak kata, saya serik untuk bercinta. Kegagalan lalu buatkan saya lebih matang. Saya sudah melalui beberapa episod kekecewaan. Bila putus cinta, saya hanya boleh pasrah.

"Walau macam mana kita berhati-hati pun kita tidak dapat jangka apa yang akan berlaku," Ujar gadis yang berasal dari Kuala Lumpur.

Bebas Dari Astro

Hampir 10 tahun bersama Astro dengan berbekalkan bakat serta wajah jelitanya cukup mengukuhkan nama Yasmin Hani di persada seni tempatan.

Keluar dari Astro bagai memberi kehidupan baru buat pelakon filem Duyung ini. Bersandar kepetahan berkomunikasi dan raut wajah komersial, dia cepat disambar stesen televisyen lain sejurus mengangkat kaki dari Astro

"Mulanya memang saya takut untuk ambil keputusan ini sebab saya dah selesa dengan Astro, tapi bila minta nasihat dari Sazzy yang lebih awal keluar, saya rasa yakin untuk cuba sesuatu yang baru.

"Saya tidak 'ikat kontrak mati' dengan Astro seperti yang difikirkan oleh segelintir orang, mungkin dulu rezeki saya memang disitu.

"Kontrak saya di Astro bermusim iaitu dari setahun ke setahun, itu yang mereka takut nak ambil saya sebab saya ada komintmen sepanjang tahun.

"Kini saya bebas untuk terima tawaran lain, setakat ini ada tiga program yang ditawarkan oleh TV3 tapi masih lagi dalam peringkat perbincangan.

Terima Kritikan

Mengenai pengalaman jadi `kembar siam' menerusi filem 2 Hati 1 Jiwa arahan Prof Madya A Razak Mohaideen, Hani berkata, dia banyak menerima kritikan dari penonton.

"Saya dapat maklum balas dan kritikan dari penonton, saya jadikan semua itu sebagai kritikan membina. Bukan mudah untuk melakonkan watak Orang Kurang Upaya (OKU), sedikit sebanyak saya turut merasai susah payah mereka menjalani kehidupan seharian," kata gadis kacukan Melayu-Inggeris itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain