suria

Lagu 'Pergi' Juarai AJL24

Aizat bersama dua trofi kemenangan yang diraihnya menerusi dua buah lagu, Pergi dan Kau Aku - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Aizat bersama dua trofi kemenangan yang diraihnya menerusi dua buah lagu, Pergi dan Kau Aku - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Aizat bersama dua trofi kemenangan yang diraihnya menerusi dua buah lagu, Pergi dan Kau Aku - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Alunan lagu menyentuh perasaan, Pergi nyanyian Aizat telah berjaya mengungguli gelaran juara dalam Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam tadi.

Dengan kemenangan lagu ciptaan Pete Teo dan lirik oleh Amran Omar itu, mereka telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000 berserta trofi.

Aizat juga berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Kau Aku dan sekaligus merangkul wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi.

Sementara bagi tempat kedua, lagu Dan Sebenarnya nyanyian dan ciptaan sepenuhnya oleh Yuna telah berjaya meraih kemenangan dan membawa pulang wang tunai RM15,000 serta trofi.

Dalam pada itu, tempat ketiga pula berjaya dimenangi oleh lagu Bencinta ciptaan Audi Mok serta lirik dan nyanyian oleh Faizal Tahir. Mereka memenangi wang tunai RM12,000 dan trofi.

Juara Mentor musim ketiga, Black pula dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu nyanyiannya Aku Rindu Sayang Kamu, ciptaan sepenuhnya oleh Yuzai. Black membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.

Lagu-lagu lain yang bertanding pada AJL24 ini ialah Aurora (ciptaan sepenuhnya oleh Estranged), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah/ Ajai/ Habsah), Cinta Adam & Hawa (Misha Omar/ Azmeer/ Loloq), Masih Jelas (Hafiz/ Aidit Alfian/ Ad Samad), Situasi (Bunkface/ ciptaan sepenuhnya oleh Sam), Pakai Buang (Stacy/ ciptaan sepenuhnya oleh Edry KRU), Aku Skandal (Hujan/ ciptaan sepenuhnya oleh Noh Hujan), Bengang (Akim/ Amir/ Sheikh Qalam) dan Rindu Terhenti (Tomok/ Aubrey Suwito/ Tinta).

AJL24 diadili oleh juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, penyanyi Zainal Abidin, penyanyi dan komposer Hazami, pelakon Fatimah Abu Bakar dan komposer Fauzi Marzuki selaku ketua juri.

Acara gilang-gemilang yang bertemakan Music Unfolds ini dihoskan oleh gandingan tiga pengacara hebat iaitu Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar.

Selain menyaksikan finalis-finalis yang bertanding, AJL24 turut diserikan dengan persembahan interlude istimewa oleh Datuk Jeffrydin & Siglap 5, Jay Jay & Carefree, Search dan Meet Uncle Hussain bersama H dan Black. Persembahan pembukaan Laguku Untukmu oleh Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan Azlan & The Typewriter juga menarik dan tersendiri.

AJL24 yang disiarkan oleh TV3 dan stesen radio rasmi Hot FM ini turut dihadiri oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim serta isteri, Datin Seri Maznah Rais.

Kosmetik L'oreal Paris telah dipilih sebagai penaja rasmi AJL24.

Artikel Lain