suria

Siti Harap Dikurniakan Anak Tahun 2010

SEJAK mendirikan rumahtangga dengan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa kira-kira tiga tahun lalu, soalan tentang cahaya mata tidak pernah lekang ditanya pada empunya badan. Datuk Siti Nurhaliza tidak pula menunjukkan riak bosan, malah penyanyi ini tidak kisah untuk terus 'melayan' soalan-soalan itu yang sering diajukan oleh wartawan mahupun peminat-peminat.

Tatkala bertemu dengannya pada sesi latihan konsert Bagaikan Sakti bersama M.Nasir kelmarin, Siti akui impian untuk bergelar ibu masih tersemat kemas di dalam dirinya. Malah, salah satu harapannya menjelang tahun 2010 ialah agar doa itu dimakbulkan tuhan.

"Bila masuknya tahun baru nanti, umur saya pun akan meningkat. Sudah tentu saya akan sentiasa berdoa agar terus dimurahkan rezeki dalam karier serta dikurniakan anak yang memang amat saya nanti-nantikan.

"Saya tidak nafikan, adakalanya sering terfikir juga tentang anak. Tapi, saya tidak mahu terlalu ambil serius sehingga menjadikan diri saya tertekan. Kalau ada rezeki, adalah. Saya hanya berusaha.

"Daripada stres memikirkan tentang perkara ini, lebih baik saya buat kerja seperti biasa. Lagipun, saya tidaklah 'terasa' sangat kerana suami pun ada anak-anak...anak-anak saudara pun ramai," kata Siti dalam nada ceria.

Sekadar mengimbas perjalanan hidupnya sepanjang tahun 2009 ini, kata Siti, permulaan tahun ini agak mencabar buat dirinya apatah lagi setelah kehilangan bapa tercinta, Taruddin Ismail pada bulan Februari lalu.

"Semangat saya agak berkurangan pada ketika itu. Tapi Alhamdulillah, pada sisi yang lain pula, rezeki saya nampaknya masih tidak putus-putus. Saya memenangi beberapa anugerah lagi pada tahun ini. Konsert-konsert yang saya lakukan juga berjalan dengan baik.

"Untuk tahun baru ini, saya akan meneruskan dengan konsert Bagaikan Sakti pula bersama M.Nasir di Esplanade, Singapura. Selepas itu, saya akan menerbitkan pula Konsert Satu Suara yang akan dijayakan oleh Faizal Tahir dan Aizat di Istana Budaya pada bulan Februari nanti," ujar penyanyi berusia 30 tahun ini.

Dalam pada itu, bercerita lanjut tentang Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Datuk Siti Nurhaliza yang akan berlangsung malam esok, Siti akui teruja dapat berkongsi pentas dengan M.Nasir dalam sebuah konsert berskala besar seperti itu.

Malah, sambutan 'luar biasa' yang diterima daripada penonton-penonton Singapura apabila semua tiket habis dijual dalam masa seminggu juga menyemarakkan semangat Siti untuk menampilkan persembahan terbaik pada malam itu.

"Ini adalah kali kedua saya berpeluang buat persembahan di Esplanade. Apa yang saya lihat, kebanyakan warga Singapura memang gemarkan persembahan artis-artis Malaysia. Alhamdulillah, setakat ini, sokongan mereka terhadap saya tidak pernah berkurangan.

"Tentang gandingan saya dan M.Nasir dalam satu konsert yang sama, sebenarnya peluang ini memang sudah lama saya nantikan. Kami sering membuat persembahan bersama sebelum ini, tapi tidak pernah dalam sebuah konsert.

"Bagi saya, konsert ini ibarat persembahan '2 dalam 1'. Saya dan M.Nasir mempunyai muzik tersendiri dan ini akan memberi variasi kepada penonton," kata Siti yang baru saja tampil dengan album duet bersama Krisdayanti (KD) berjudul CTKD: Canda, Tangis, Ketawa, Duka.

Menariknya, bagi yang tidak berpeluang menyaksikan konsert itu secara langsung di Esplanade, ia masih boleh disaksikan juga secara langsung di saluran Astro Box Office Events (saluran 955) pada pukul 8 malam.

Pelanggan Astro boleh melanggan Astro Box Office Events (saluran 955) untuk menyaksikan konsert ini hanya dengan harga RM10.00. Siaran ulangan konsert berkenaan pula akan bermula pada 2 hingga 10 Januari 2009 di saluran yang sama.

Untuk melanggan pakej Astro Box Office Events, para pelanggan Astro boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 1300 82 3838 atau menerusi talian SMS dengan menghantar teks ABOMSAKTINo.IC dan hantarkan ke 32888.

Pengaktifan melalui SMS akan mengambil masa 24 jam. Tempoh untuk melanggan akan dibuka bermula 22 Disember 2009 dan akan ditutup pada 10 Januari 2010.

Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Datuk Siti Nurhaliza bakal menyaksikan gabungan dua figura hebat ini mengalunkan lagu-lagu popular mereka serta lagu-lagu klasik yang pernah didendangkan oleh seniman terkemuka sepanjang zaman seperti P. Ramlee, Saloma dan Sudirman sepanjang persembahan dua jam tanpa henti.

Konsert istimewa ini juga bakal memperlihatkan dua pengarah muzik terkemuka yang akan bekerjasama mengemudikan konsert ini di atas pentas iaitu M. Nasir di bawah pimpinan Aznan Alias dan Datuk Siti Nurhaliza di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta diiringi oleh 30 orang pemuzik di bawah pimpinan mereka.

Ditanya tentang kelainan yang akan ditampilkannya di dalam konsert ini, kata Siti, tidak banyak perbezaan yang akan dilakukan seperti mana konsert-konsertnya sebelum ini. Selain menyanyikan kira-kira 14 buah lagu popularnya untuk segmen solo, Siti juga akan menyanyikan sebuah lagu baru ciptaan M.Nasir berjudul Ada Masa Mata.

Siti dan M.Nasir juga akan berduet sebuah lagu baru hasil ciptaan M.Nasir dan lirik oleh Siti sendiri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain