suria

Raisuddin, Isteri Kedua Sekali Lagi Diarahkan Tinggal Berasingan

Raisuddin dan isteri kedua ketika hadir ke mahkamah.
Raisuddin dan isteri kedua ketika hadir ke mahkamah.
Raisuddin dan isteri kedua ketika hadir ke mahkamah.

SHAH ALAM: Pelakon dan penyanyi popular 80-an, Raisuddin Hamzah, dan isteri keduanya, Siti Fatimah Suberi hari ini diperintah tinggal berasingan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Pasangan yang jarak umur 30 tahun ini diarahkan oleh Hakim Syarie Abu Zaky Mohamed untuk tidak tinggal bersama dan hidup sebagai suami isteri sehingga rayuan faraq nikah atau pengesahan nikah mereka diputuskan.

Rayuan faraq nikah yang difailkan oleh bapa Siti Fatimah, Suberi Abdullah, 48, akan diputuskan pada 27 Januari ini, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Sementara pengesahan nikah yang dipohon oleh Raisuddin, 52 dan Siti Fatimah, 22, akan diputuskan pada 10 Februari depan di mahkamah yang sama.

Suberi diwakili peguam syarie, Roshdan Rafie dan Salwila Abdullah manakala Raisuddin dan Siti Fatimah diwakili peguam syarie, Nor Azmi Mohd Arif dan Mohd Ridhwan Husin.

Walaubagaimanapun, Abu Zaky tidak membuat keputusan berkaitan dua lagi permohonan Suberi iaitu memerintahkan Siti Fatimah pulang ke pangkuannya dan menghalang Raisuddin atau ahli keluarganya dari melakukan pencerobohan terhadap palantif dan anaknya itu.

Raisuddin berkahwin dengan Siti Fatimah di Songkhla, Thailand dengan berwali hakim pada 2 Januari 2007.

Bapa Siti Fatimah, Suberi, 48, kemudiannya memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan pasangan itu mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 pada 26 Oktober 2007.

Beliau membuat permohonan itu dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.

Sementara Raisuddin dan Siti Fatimah pula memfailkan permohonan balas bagi mengesahkan pernikahan mereka di mahkamah yang sama.

Kronologi kes faraq nikah Raisuddin-Siti Fatimah:

6 Februari 2009: Hasrat Raisuddin untuk mengesahkan perkahwinannya dengan Siti Fatimah terbantut apabila mahkamah menolak permohonannya itu.

7 April: Siti Fatimah secara sukarela mengaku bersalah kerana bernikah tanpa kebenaran pendaftar nikah di Songkla, Thailand dengan Raisuddin pada 2 Januari 2007.

17 Jun: Mahkamah memutuskan Raisuddin faraq perkahwinan (berpisah sementara dengan Siti Fatimah). Kes faraq itu dipohon oleh Suberi kerana perkahwinan anaknya, Siti Fatimah dengan Raisuddin diragui walaupun ia telah disahkan oleh pihak mahkamah.

Permohonan faraq itu menghalang Raisuddin dan Siti Fatimah daripada menjalani kehidupan suami isteri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain