suria

Ahmad Idham Lepaskan Seniman Demi FINAS

Ahmad Idham kini 'orang kuat' Finas.
Ahmad Idham kini 'orang kuat' Finas.
Ahmad Idham kini 'orang kuat' Finas.

MENYOROTI jurnal seni pengarah dan pelakon Ahmad Idham, mungkin tidak keterlaluan menyifatkan anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini sebagai penggiat seni muda yang boleh dibanggakan.

Pencapaian menerusi kejayaan filem-filem pecah panggungnya, juga suara perjuangan yang lantang dan berani membahaskan isu-isu industri secara tidak langsung telah meletakkan Ahmad Idham di liga yang tersendiri.

Terbaru, pemilik nama sebenar Ahmad Idham Ahmad Nazri yang cukup sinonim dengan pembabitan aktifnya di dalam Persatuan Seniman membuat kejutan apabila melepaskan jawatan kedua tertinggi persatuan itu, Timbalan Presiden, demi tanggungjawab kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Keputusan itu diumumkannya di Mesyuarat Agung Seniman kelmarin bersempena pemilihan komiti baru persatuan itu, untuk penggal 2010/2011.

Menurut Idham, keputusan melepaskan jawatan itu dilakukan kerana komitmen yang lebih besar susulan perlantikannya sebagai Ahli Perbadanan FINAS bermula Julai lalu.

"Saya terpaksa lepaskan jawatan itu (Timbalan Presiden Seniman) kerana tidak dapat membahagikan masa untuk dua komitmen tugas dalam satu masa memandangkan saya juga sibuk dengan karier seni.

"Untuk mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari, lebih baik saya lepaskan jawatan di Seniman.

"Apatah lagi, perlantikan sebagai Ahli Perbadanan Finas memerlukan komitmen yang tinggi selain tugasan dan tanggunggjawab juga lebih besar," jelas Idham.

Mengulas mengenai pemilihan pelakon dan pengarah Harun Salim Bachik sebagai Presiden baru Persatuan Seniman selepas menewaskan Datuk Mustapha Maarof, Idham berkata, kemenangan Harun dilihatnya sebagai satu pembaharuan yang positif kepada pucuk kepimpinan persatuan secara keseluruhannya.

Dia yang percaya dan yakin dengan kredibiliti Harun merasakan sudah tiba masanya untuk penggiat muda seperti Harun menerajui persatuan tersebut.

"Saya berasa lega dengan pemilihan Harun untuk menerajui Seniman selepas ini. Pada saya, ini satu petanda baik kepada perjuangan persatuan ini.

"Saya yakin Harun yang mewakili generasi muda, berupaya untuk membawa pembaharuan dan nafas baru kepada hala tuju dan perjuangan persatuan selepas ini," kata Idham.

Bercerita pula mengenai tugasan yang digalasnya sejak bergelar Ahli Perbadanan FINAS, Idham berkata, pemilihannya bersama David Teo yang mewakili penggiat industri seni menuntutnya untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan aspek teknikal dan operasi industri seni secara menyeluruh.

"Saya dipilih untuk mewakili penggiat seni yang lain, saya bertanggungjawab untuk menguruskan aspek teknikal di dalam industri seni.

"Memandangkan saya telah diberi mandat dan kepercayaan ini, saya harus komited dengan tugas ini.

"Skop tugasan saya merangkumi perjuangan hala tuju penggiat muda di dalam industri, mewakili penggiat seni dalam menyuarakan sebarang masalah dan isu industri, menyelesaikan sebarang kesulitan berkaitan industri seni dan dokumentasi perkembangan industri seni secara menyeluruh," katanya.

Tambah pengarah berusia 38 tahun ini, sejak perlantikan itu, dia telah berjaya menyelesaikan beberapa masalah tertangguh yang membelenggu Finas selama ini, antaranya isu Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC), masalah pekerja filem, pemasaran filem tempatan dan beberapa lagi.

Ketika diminta mengulas faktor perlantikannya, Idham berkata, pemilihannya yang diperakui oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) itu mungkin didasari oleh faktor pencapaian seni dan perjuangan yang dilakukannya selama ini.

Bukan mahu mendabik dada, sebaliknya pengarah filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak ini punya pandangan sendiri tentang perlantikan itu.

"Mungkin mereka (KPKK) melantik saya sebagai Ahli Perbadanan ini selepas melihat pencapaian kerjaya seni saya dan perjuangan aktif saya sepanjang bersama Seniman. Mereka menilai kerja saya dan mungkin sebab itu saya diberi peluang ini.

"Perlantikan ini adalah satu cabaran kepada saya untuk membuktikan kepada semua pihak termasuklah pihak Kementerian sendiri kemampuan saya menyempurnakan tugas-tugas yang diberi.

"Saya melihat komiti kali ini lebih agresif kerana terdiri daripada individu-individu yang berlainan latar belakang dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

"Saya yakin kami mampu untuk menyelesaikan masalah dan isu yang dihadapi oleh penggiat seni dan sekaligus membawa perubahan kepada perkembangan industri kelak," katanya yang menyifatkan perlantikan itu sebagai satu penghargaan besar pihak kerajaan kepada dirinya.

Ahli Perbadanan FINAS yang terdiri daripada 10 ahli komiti termasuklah Pengerusi Finas Dato' Wong Kam Hoong, Ketua Pengarah Finas Mohd Mahyidin Mustakim dan lapan ahli lain bertanggungjawab mengurus tadbir hal-hal berkaitan kewangan, penggubalan dasar, teknikal dan sebagainya.

Beralih perbualan kepada perkembangan kariernya, Idham berkata, walaupun dia mempunyai komitmen besar terhadap Finas, perjalanan kariernya masih berjalan dengan lancar.

Terbaru, Idham kini sedang sibuk di lokasi penggambaran filem terbaru arahannya, Aku Masih Dara terbitan MIG Productions. Filem yang mengangkat tema drama remaja dan agama itu membariskan bintang-bintang muda tanah air termasuklah Raja Farah, Diana Amir, Yana Shamsudin dan Ashraf Muslim.

Menceritakan serba ringkas mengenai filem terbarunya itu, Idham berkata, filem Aku Masih Dara bakal mengupas isu kepentingan mempunyai dara di kalangan remaja perempuan hari ini.

Ujar Idham, walaupun tema dan plot filem itu kedengaran berat dan serius, namun dia memastikan persembahan dan garapannya akan diselitkan dengan elemen komersial agar mampu menarik penonton.

Selain Aku Masih Dara, Ahmad Idham juga bakal kembali ke layar perak awal tahun depan menerusi dua filem baru arahannya, Adnan Sempit dan Niyang Rapik, masing-masing pada Januari dan 25 Februari 2010.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain