suria

Pertaruhan 'Kelakar Tak Ingat' Raja Lawak 4

Peserta-peserta Raja Lawak musim ke-4.-foto Utusan
Peserta-peserta Raja Lawak musim ke-4.-foto Utusan
Peserta-peserta Raja Lawak musim ke-4.-foto Utusan

PROGRAM realiti bakat komedi, Raja Lawak Astro bakal kembali untuk musim keempat dengan tema 'Kelakar Tak Ingat', bermula 24 Disember ini.

Lebih segar dan lucu, kembara Raja Lawak diteruskan dengan mempertaruhkan tema ini agar diterima sebagai sebuah program hiburan yang benar-benar santai dan ringan.

Jika musim lalu, Raja Lawak boleh berbangga dengan pencapaiannya apabila jumlah penonton yang menyaksikan pertandingan akhir berjaya meraih 1.3 juta penonton dan sekaligus mengatasi penonton yang menyaksikan pertandingan akhir Akademi Fantasia 7, cabaran untuk menarik lebih ramai penonton kali ini lebih besar dan berat.

Atas dasar itu, program musim ini cuba menyajikan santapan komedi yang lebih ringan, santai dan dekat dengan jiwa penonton.

Sebagai pertaruhan, tulang belakang program Raja Lawak yang diketuai oleh Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, telah memilih tema 'Kelakar Tak Ingat' yang disifatkan sebagai sesuatu yang sinonim bukan sahaja pada elemen komedi malah juga peminat program ini.

"Tema 'Kelakar Tak Ingat' ini mudah difahami, ringkas dan bersesuaian sekali untuk pengisian komedi yang bakal kami tampilkan di musim ini.

"Ia juga satu tema yang sinonim untuk menggambarkan tahap kelucuan, jenaka dan hiburan yang dipersembahkan oleh peserta dan program ini secara keseluruhannya," jelasnya.

Tambah Nizam, relevannya pemilihan tema itu untuk musim ini adalah berdasarkan kajian demografik yang dijalankan ke atas penonton program ini.

Raja Lawak, yang rata-ratanya diminati oleh penonton luar bandar dan kampung ini telah membuatkan pihak penerbitan sepakat untuk mengetengahkan tema 'Kelakar Tak Ingat' ini dengan keyakinan, program musim ini mampu untuk menampilkan elemen komedi yang benar-benar lucu dan lebih menghiburkan.

"Berdasarkan kajian penonton yang dijalankan, kami mengenalpasti penonton sasaran program ini terdiri daripada penonton luar bandar dan kampung.

"Sebagai usaha kami untuk terus mendekati penonton sasaran, kami memutuskan untuk menggunakan tema ini pada musim ini.

"Barisan juri tetap dan peserta musim ini juga boleh dianggap sebagai lebih lawak dan kelakar, di mana kami yakin ia mampu untuk menarik lebih ramai penonton berbanding musim-musim yang lalu.

"Jadi, tidak keterlaluan jika saya sifatkan musim baru ini adalah musim yang paling kelakar dan menghiburkan sejak Raja Lawak bermula empat tahun lalu," kata Nizam.

Masih mengekalkan format permarkahan lama, nasib peserta musim ini juga ditentukan sepenuhnya oleh penonton menerusi sistem pesanan ringkas (sms).

Pengkritik tetap yang dipertanggungjawabkan untuk memberi tunjuk ajar, komen dan panduan kepada semua finalis terdiri daripada pelakon dan penggiat seni serba boleh Afdlin Shauki, penyampai radio dan pelawak Din Beramboi serta pelawak dan pengacara Bob Lokman.

Menampilkan 10 finalis, musim keempat ini bakal membariskan enam peserta solo iaitu Alex atau Alexander Ahat, 28 (Sabah), Aman atau Zulkefli Abu Bakar, 28 (Johor), Caca atau Abdul Halim Abdul Malek, 31 (Kedah), Faiz atau Khairul Faiz Sulaiman, 18 (Perak), Idlan atau Khairul Idlan Abdul Razak, 21 (Kedah) dan JD atau Ahmad Zaidi Masri, 30 (Perak).

Sementara empat kumpulan yang bakal bersaing ialah kumpulan Kecik yang dianggotai Achoe atau Mohd Ilham Rusdy, 19 dan Wan atau Safuan Madeaming (Sabah), kumpulan Mamu yang terdiri daripada Ajo atau Wan Azrul Azizan, 24 dan Abu atau Abu Musarrif Abu Bakar, 21 (Pulau Pinang), kumpulan An2 - Ijal atau Rosshahrizal Bachok, 24 dan Tepet atau Raja Nor Shafiq Azraie Shah, 20 (Johor) dan kumpulan Wili yang menggabungkan Wira atau Ismawira Bahdun, 22 dan Ali Black atau Mohammad Ali Maula Ahmad, 24, masing-masing dari KL dan Perak.

Sebagai pembuka tirai, para penonton bakal menyaksikan sedutan-sedutan dari sesi ujibakat musim ini menerusi Al-Kisah Raja Lawak Astro sebanyak dua episod pada 24 dan 25 Disember 2009, jam 9 malam.

Ceritera Raja Lawak Astro yang memaparkan segala gelagat, aktiviti dan rutin harian finalis akan membuka tirai tahun 2010 apabila disiarkan pada 1 Januari 2010.

Sedikit berbeza daripada musim lalu, Gelanggang Raja Lawak yang bersiaran pada hari Jumaat, bagaimanapun akan bertukar siarannya pada setiap hari Ahad, jam 9 malam bermula 3 Januari 2010 pada musim ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain