suria

Siti Akan Terbitkan Konsert Aizat & Faizal Tahir di IB

SELAMA ini syarikat milik penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, Siti Nurhaliza Productions (SNP) hanya menguruskan aktiviti seni penyanyi ini, termasuklah persembahan nyanyian dan konsert.

Terbaru, diva pop itu mengumumkan syarikat pengurusannya itu bakal menerbitkan sebuah konsert yang menggabungkan penyanyi Aizat dan Faizal Tahir di atas satu pentas.

'Konsert Satu Suara bersama Simfoni Orkestra Kebangsaan' yang julung kali dianjurkan itu bakal mengisi slot program Istana Budaya (IB) pada 12 hingga 14 Februari 2010.

Menurut Siti, idea untuk menerbitkan konsert itu sebenarnya dicetuskan oleh kakak ipar juga pengurus peribadinya, Rozie Abd Razak.

Setelah hampir 15 tahun berkecimpung dalam industri seni suara, Rozie berasa sudah tiba masanya Siti membuka ruang dan peluang kepada pendatang baru untuk beraksi dalam sebuah konsert berprestij terbitan syarikatnya.

Lantas, dua nama bintang muda ini melintas dalam fikiran Siti. Alasannya mudah. Aizat dan Faizal Tahir masing-masing punya bakat dan karisma tersendiri sehinggakan Siti terus terdetik nama mereka sebaik saja SNP mencadangkan idea untuk menerbitkan konsert artis lain.

"Apabila SNP mencadangkan kepada saya untuk menerbitkan konsert artis-artis baru, nama Aizat dan Faizal Tahir terus melintas di fikiran," akuinya.

Bercerita mengenai faktor pemilihan Aizat dan Faizal Tahir, Siti berkata, kriteria istimewa dan tersendiri yang terdapat pada kedua-dua bintang ini telah menarik minatnya untuk menerbitkan konsert itu.

Mengakui bakat besar yang dimiliki oleh mereka, Siti lantas teruja memberi peluang kepada dua penyanyi ini untuk berkongsi pentas dalam sebuah konsert yang istimewa.

"Faktor utama yang menarik minat saya memilih Aizat dan Faizal Tahir ialah kerana bakat besar yang mereka miliki. Mereka bukan sahaja penyanyi yang berbakat, malahan boleh bermain alat muzik, mencipta lagu dan memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan.

"Aliran muzik yang diperjuangkan oleh mereka diterima baik oleh peminat muzik tempatan terutamanya golongan muda. Tambahan pula, kemunculan mereka dalam industri seni suara amat memberi impak dan membawa perubahan kepada perkembangan muzik tempatan. Muzik yang dibawa oleh mereka juga segar dan mendapat sambutan yang baik oleh golongan muda hari ini.

"Memandangkan konsert ini bertujuan untuk mempromosikan kempen gagasan 1Malaysia kepada masyarakat terutamanya golongan muda, maka pemilihan Aizat dan Faizal Tahir yang dekat dengan anak muda hari ini amat bersesuaian sekali untuk tujuan ini," ujar Siti lagi.

Meskipun 'Konsert Satu Suara' akan diterbitkan oleh syarikatnya, namun Siti tetap memberi kebebasan sepenuhnya kepada Aizat dan Faizal Tahir untuk memikirkan konsep dan bentuk persembahan yang ingin mereka tampilkan.

"Walaupun Siti beri kebebasan kepada Aizat dan Faizal untuk memilih konsep dan bentuk persembahan mereka, tetapi kami tetap akan berbincang bersama bagi mendapatkan satu konsep persembahan yang terbaik.

"Setakat ini, mereka sudah beri idea dan senarai lagu yang ingin mereka tampilkan. Tetapi, kami perlu berbincang dengan pemuzik dan orkestra bagi mendapatkan kesesuaian dan keserasian untuk persembahan itu nanti," ujar Siti yang menyifatkan gabungan elemen muzik rock dan orkestra di dalam 'Konsert Satu Suara' pasti menjanjikan suatu kelainan.

Aizat dan Faizal Tahir dijangka akan menyampaikan lagu-lagu popular masing-masing di samping lagu-lagu penyanyi lain menerusi aksi solo selama 45 minit setiap seorang. Selain persembahan solo, kedua-dua bintang ini juga akan menampilkan beberapa lagu duet bersama.

Menyentuh soal cabaran bergelar penerbit, Siti mengakui tanggungjawab sebagai penerbit konsert artis lain bukan semudah menerbitkan konsert atau persembahan nyanyian sendiri.

Tambahnya, jika untuk konsert sendiri dia tahu apa yang terbaik dan yang ingin disampaikannya menerusi sesebuah persembahan itu.

Memandangkan konsert ini diterbitkan untuk artis lain, maka tanggungjawabnya sebagai tulang belakang konsert ini pastinya lebih besar. Dia harus memastikan kelancaran proses persiapan, penajaan, set dan persembahan konsert itu berjaya seperti yang dirancangkan.

"Memandangkan ini percubaan pertama SNP untuk menerbitkan konsert artis lain, maka tanggungjawab dan cabarannya lebih besar. Tapi, Insya'allah kami akan cuba hasilkan yang terbaik untuk konsert ini," jelas Siti merendah diri.

Apabila ditanya adakah dia akan turut membuat persembahan di konsert itu nanti, Siti berkata, dia masih tidak pasti sama ada akan membuat persembahan atau pun tidak.

Namun, dia lebih selesa jika tidak terlibat dengan perjalanan konsert Aizat dan Faizal Tahir itu kerana ingin memberi penghormatan kepada dua bintang ini untuk menyinar sepenuhnya di konsert mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Lain