suria

Sehati Berdansa - Pasangan Oshin Akui Tidak Tahu Menari

PASANGAN suami isteri Oshin dan Firdaus, tersingkir dari program ‘Debaran Sehati Berdansa’ pada minggu kelima yang bertemakan Latin bagi musim ke-3.

Oshin atau nama sebenarnya Nurul Huda Mohd Nasir dan pasangannya Mohd Firdaus Mohd Shukor yang menari untuk lagu berjudul “Volare” pada hari Khamis lalu redha dengan penyingkiran mereka.

“Kami sudah buat yang terbaik dan terima keputusan juri dan SMS walaupun sedih terpaksa meninggalkan kesemua peserta program realiti ‘Sehati Berdansa’ lain,” jelas Oshin dalam temu bual selepas program tersebut.

Oshin yang juga merupakan seorang penyanyi menitiskan air mata apabila keputusan diumumkan pada hari Ahad yang lalu.

Dengan penyingkiran itu, pasangan yang baru enam bulan mendirikan rumah tangga ini, berjaya menyumbangkan RM 5,000 untuk rumah kebajikan mereka, Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia.

Akui Oshin lagi, beliau serta suami tidak pernah mengikuti mana-mana kelas menari sebelum menyertai rancangan ini.

“Saya menyanyi dan suami saya pula bekerja sendiri. Masing-masing tidak tahu menari.

“Memang susah untuk mempelajari kesemua tarian yang diajar. Tetapi kami telah mencuba sedaya upaya,” kata Fidaus selepas program ‘Debaran Sehati Berdansa’ pada hari Ahad yang lepas.

Menurut jurureka tari mereka, Lilly, beliau menjangkakan pasangan ini akan melepasi minggu kelima.

“Apabila bertemu dengan pasangan Oshin untuk kali yang pertama, saya berasa pasangan ini memiliki rupa walaupun saya belum mengetahui sejauh mana kebolehan menari mereka pada masa itu.

“Dalam sesi latihan pula, saya mendapati lebih mudah bagi Oshin untuk mempelajari sesuatu tarian yang diajar.

"Manakala agak sukar untuk Firdaus untuk mengikuti rentak tari dan dia juga mempunyai masalah tempo,” jelas Lilly lagi.

Selain itu, Firdaus pada mulanya tidak mahu menyertai pertandingan ini tetapi memandangkan isterinya Oshin terlibat bidang seni, beliau akhirnya mengalah dan menyertai pertandingan untuk memberi sokongan.

“Dengan meyertai pertandingan ini, saya dapat berkenalan kesemua peserta pertandingan ‘Sehati Berdansa’ yang memang baik dan paramah,” tambah Firdaus.

Pasangan Oshin baru mendirikan rumah tangga pada bulan Mei yang lalu.

Apabila ditanya ada apa-apa rancangan untuk menimang cahaya mata, pasangan ini berkata mereka memang berhasrat untuk mendapatkan anak.

“Kalau ikutkan, saya memang nak anak cepat, tetapi masih belum ada rezeki lagi,” kata Oshin.

Sementara itu Oshin juga mengakui yang kumpulan Lips sudah pun berpisah dengan cara baik.

“Mereka berdua iaitu Shela dan Adila tidak ingin menyanyi lagi dan masing-masing sibuk dengan hidup mereka. Shila kini sedang bekerja dan Adila pula sedang belajar dan bekerja secara sambilan.

“Hanya saya sahaja yang ingin terus menyanyi dan tidak adil untuk saya memaksa mereka untuk terus menyanyi bersama saya jika mereka tidak serius,” ujar Oshin.

Akhiri Oshin, beliau akan mencuba nasibnya dalam bidang nyanyian walaupun kini terpaksa menyanyi secara solo.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain