suria

Farawahida Sudah Temui Lelaki Terbaik Untuknya

MELANGKAH pergi daripada segala kontroversi yang pernah singgah dalam dirinya, penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu ini sudah dapat merasakan tahun mendatang bakal memberikan sinar baru dalam kehidupannya.

Enggan lagi menoleh ke belakang, Farawahida yang mesra disapa Fara ini sudah mula menyusun agenda tersendiri untuk karier seninya yang bukan saja hanya melibatkan bidang nyanyian, malah mula memberanikan diri menceburi bidang lakonan.

Membuat keputusan yang bijak untuk memulakan karier lakonan menerusi platform teater, kata Fara, dia sedar ia mungkin satu risiko besar buat dirinya apatah lagi dia tidak langsung mempunyai asas dalam bidang tersebut.

Namun, penyanyi berusia 24 tahun ini lebih suka melihat dari sudut positif untuk mengembangkan lagi cabang seninya itu dan lantaran itu, watak Puteri Jasmin di dalam teater bangsawan berjudul Sinbad diambil oleh Fara untuk menyahut cabaran itu.

"Saya sudah lama mengenali pengarahnya, Rosnan Nordin dan dari awal lagi saya beritahu dia bahawa saya memang tiada asas berlakon. Tetapi saya tidak tertekan pun kerana saya sedar, saya dikelilingi oleh mereka yang banyak pengalaman.

"Dan rasanya, sebelum saya menerima tawaran lain seperti drama, lebih baik saya asah bakat di pentas teater terlebih dahulu.

"Dan sejujurnya, saya memang sudah bersedia dengan pelbagai kritikan apabila teater ini mula dipentaskan di Auditorium DBKL pada 11 hingga 13 Disember ini. Maklumlah, ini adalah lakonan sulung saya.

"Malah, walaupun sudah bertahun-tahun saya jadi penyanyi, masih lagi saya dikritik sehingga kini. Bagi saya, ini adalah normal dan sebenarnya bagus untuk memajukan lagi karier saya," kata Fara yang enggan mendedahkan lagi barisan pelakon lain dalam teater ini.

Buat masa ini, ujarnya, dia sedang giat membuat latihan untuk teater terbitan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Beralih kepada kehidupannya kini, dalam nada ceria, Fara berkata dia semakin sibuk membuat perancangan dalam menentukan hala tuju hidupnya.

Ditanya sama ada agenda untuk berkahwin turut terselit di dalam salah satu perancangan itu apatah lagi dirinya kini dikatakan sedang asyik dilamun cinta dengan seorang jejaka yang hanya setahun tua daripadanya itu, penyanyi kelahiran Taiping, Perak ini hanya ketawa kecil sebelum menjawab:

"Saya pun memang tidak mahu lama-lama bercinta. Saya tidak nafikan, 'dia' adalah yang terbaik untuk saya. Saya kagum dengannya kerana dengan pelbagai perkara yang saya lalui selama ini, dia tetap berdiri teguh menyokong saya.

"Dia memahami apa yang berlaku dan saya berharap sangat hubungan ini akan terus bertahan," ujarnya.

Kata Fara, kedua-duanya juga sudah mengenali keluarga masing-masing, namun penyanyi ini enggan bercerita secara mendalam tentang kekasih hatinya itu.

"Hubungan kami masih baru lagi. Walaupun saya mengenalinya sejak zaman persekolahan lagi, tetapi kami hanya benar-benar serius dalam setahun ini. Dia bekerja di dalam bidang perubatan.

"Alhamdulillah, keluarga kami 'ok'. Dia pun sering singgah di kampung saya setiap kali jika dia ingin pulang ke kampungnya di Pulau Pinang," tuturnya yang mula diperkenalkan oleh jejaka itu oleh seorang kawan. Ditanya apa lagi perancangannya selepas ini, ujar Fara, dia hanya berharap perjalanan seni dan hidupnya akan berjalan lancar selepas ini.

"Saya memulakan tahun 2009 dengan baik apabila memenangi kategori Etnik Kreatif di Anugerah Juara Lagu. Hanya ketika di pertengahan terjadi perkara-perkara yang bukan saya pinta.

"Saya berharap, biarlah tahun mendatang perjalanan hidup saya akan lebih mudah," katanya yang juga sedang di dalam proses untuk menghasilkan sebuah single baru.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain