suria

Opick-Genre Nasyid Mengubah Cara Pergaulan Saya

PENYANYI nasyid dari Indonesia, Opick atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Fidaus telah mengadakan konsertnya di Malaysia bersama kumpulan nasyid tempatan Inteam berjudul ‘Konsert Amal Opick dan Inteam' semalam.

Konsert itu dianjurkan oleh Persatuan Muslim Care Malaysia.

Penyanyi rock yang bertukar menjadi penyanyi nasyid ini berkata tujuan utama beliau menyertai konsert ini adalah kerana ia merupakan satu konsert amal.

Opick telah menyanyikan sepuluh buah lagu dalam konsert yang diadakan semalam, di Kompleks Dewan Serbaguna TNB, Bangsar, Kuala Lumpur.

“Saya juga turut mempromosikan lagu-lagu baru dalam album saya, ‘Maha Melihat’ menerusi konsert ini selain dapat mendakwah agama Islam menerusi lagu-lagu saya,” jelas Opick dalam satu temu bual semalam.

Penyanyi ini popular menerusi lagu-lagu seperti Tombo Ati, Takdir, Alhamdulilah dan Astaghfirullah.

Opick sebelum ini pernah mengadakan konsert di Malaysia dan berharap dapat berdepan dengan peminatnya di Malaysia secara lebih dekat lagi.

Apabila ditanya mengenai perubahannya apabila membawa lagu-lagu rock dan kemudiannya berubah kepada genre pop Islamik, penyanyi ini berkata beliau kini berasa lebih tenang.

“Saya bukan sahaja mengalami perubahan dari segi genre muzik tetapi banyak mengubah cara pergaulan sosial saya.

“Islam adalah satu agama yang indah dan telah banyak merubah pendirian saya,” jelas Opick lagi.

Beliau juga telah mengarah filem terbarunya yang berjudul ‘Dibawah Langit.’ Beliau juga turut membintangi filem tersebut.

“Saya masih sedang mencari ‘partner’ di Malaysia untuk menayangkan filem itu di sini. Dan menunggu masa untuk menayangkan filem itu di Indonesia,” tambah Opick.

Filem itu mengisahkan hidup seorang nelayan yang tidak melupakan Tuhan walaupun mempunyai ramai anak. Dia juga turut mengambil beberapa orang anak angkat walaupun miskin.

Penyanyi berumur 35 tahun juga akan bercadang untuk memulakan sebuah rancangan realiti di Indonesia yang akan mencari bakat-bakat muda dalam industri muzik nasyid.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain