suria

Maznah Zolkifli: 'I'm forever 26!'

Maznah masih aktif dengan aktiviti lasak dan tidak mahu jadikan faktor usia sebagai penghalang untuk meneruskan minatnya - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Maznah masih aktif dengan aktiviti lasak dan tidak mahu jadikan faktor usia sebagai penghalang untuk meneruskan minatnya - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Maznah masih aktif dengan aktiviti lasak dan tidak mahu jadikan faktor usia sebagai penghalang untuk meneruskan minatnya - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT

USIANYA sudah pun mencecah 35 tahun, namun bagi pengacara, ahli sukan, pelakon dan pakar motivasi ini, faktor usia tidak pernah menjadi alasan untuk dia meneruskan minatnya dengan aktiviti lasak.

Bagi Maznah Zolkifli, digelar wanita 'feminin tetapi lasak' kerana kecenderungan minatnya terhadap aktiviti-aktiviti luar seperti sukan permotoran, dianggap satu penghormatan buat dirinya.

Lantaran itu, apabila 'diusik' tentang umurnya kini, Maznah pada awalnya hanya tersenyum dan berseloroh, "I'm forever 26!".

"Bagi saya, tidak salah untuk anggap diri sentiasa muda kerana ini secara tidak langsung dapat memotivasikan diri kita. Peranan saya adalah untuk memberi motivasi kepada masyarakat dan sebab itu, saya sendiri perlu memotivasikan diri saya dulu.

"Sejujurnya, saya tidak pernah terlalu memikirkan tentang umur kerana sepanjang perjalanan hidup kita ini, tuhan sudah menetapkan jodoh dan rezeki masing-masing," luah Maznah dalam nada semangat.

Bercerita tentang perkembangan terbaru tentang dirinya, kata bekas pengacara Muzik-Muzik ini, selain sibuk menguruskan dua buah syarikat miliknya iaitu sebuah produksi dan syarikat perniagaan, Maznah juga kini aktif di dalam sukan menembak.

"Sejak tiga tahun lalu, ini adalah minat terbaru saya. Setiap hujung minggu, ini adalah antara aktiviti yang akan saya lakukan. Dan saya juga akan menyertai pertandingan menembak di Melaka tidak lama lagi.

"Seronok sangat kerana saya berjaya pelbagaikan aktiviti lasak yang saya lakukan.

"Mungkin juga kerana sejak kecil lagi saya memang meminati aktiviti mencabar seperti ini. Jadi, aktiviti seperti ini memang akan sentiasa berada dalam hati saya," ujar Duta Belia Negara 2003 ini.

Selain itu, kata Maznah, dia juga baru saja selesai menjalani penggambaran drama Projek Cinta dan turut terbabit sebagai juri jemputan di dalam program realiti Gadis Melayu musim kedua.

Maznah juga turut menyuarakan hasratnya untuk kembali mewarnai bidang pengacaraan setelah kali terakhir mengendalikan program Maz Buzz di RTM awal tahun ini.

"Sejak dianugerahkan gelaran Duta Belia Negara kira-kira enam tahun lalu, saya lebih cenderung kepada aktiviti ceramah dan mula memperlahankan karier pengacaraan.

"Kemudian saya tubuhkan syarikat sendiri dan sudah tentu jadual saya juga jadi semakin padat. Bukannya 'menghilang' terus daripada industri ini, cuma tidak begitu aktif saja.

"Kali terakhir saya mengacara pun adalah menerusi projek sulung produksi saya iaitu program Maz Buzz. Memang rindu sangat untuk kembali aktif dalam bidang ini kerana saya memang amat sukakan pengacaraan.

"Sebagai pengacara, saya berpeluang mengumpul ilmu sebanyak mungkin. Dan insya-allah, saya akan kembali sebagai pengacara menerusi sebuah program baru yang akan disiarkan di RTM2 kelak.

"Buat masa ini, program itu masih di dalam proses rakaman," ujarnya dalam nada ceria.

Artikel Lain