suria

Fazura gementar hampir 'bercium' dengan Aaron Aziz

Aaron Aziz memegang watak sebagai Ari, penyiasat persendirian manakala Fazura membawakan watak Intan, seorang gadis 'pisau cukur'
Aaron Aziz memegang watak sebagai Ari, penyiasat persendirian manakala Fazura membawakan watak Intan, seorang gadis 'pisau cukur'
Aaron Aziz memegang watak sebagai Ari, penyiasat persendirian manakala Fazura membawakan watak Intan, seorang gadis 'pisau cukur'

BERIKAN apa saja watak buat pelakon jelita ini, dia pasti mampu mencorakkannya dengan baik dalam cara tersendiri. Begitu juga yang boleh disaksikan menerusi wataknya sebagai Intan Mastura di dalam filem, Pisau Cukur.

'Kegedikan' Fazura menerusi karektor itu ternyata menghiburkan penonton-penonton yang hadir pada sesi tayangan gala filem arahan Bernard Chauly itu, di Cathay Cineplex, Damansara, kelmarin.

Ramai yang juga tidak menyangka aktres berusia 26 tahun ini sememangnya mampu membawakan watak komedi dengan baik. Ditemui sejurus berakhirnya majlis itu, Fazura sendiri akui, membawakan watak sebagai 'pisau cukur' tidak semudah yang disangkakan.

"Saya akui, ini adalah lakonan terbaik saya setakat ini. Mungkin ramai yang merasakan karektor ini sangat ringan, tetapi sebenarnya tidak. Watak Intan ini memerlukan saya jadi seorang yang lincah.

"Saya perlu bekerja keras untuk watak ini dan turut menghadiri bengkel lakonan yang dibuat bersama pelakon-pelakon filem ini.

"Pada masa yang sama, saya turut membuat kajian sendiri berdasarkan filem-filem luar berkaitan 'pisau cukur' yang saya tonton serta apa yang saya saksikan sendiri di sekeliling saya," kata Fazura.

Turut membintangi filem yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 5 November ini antara lain ialah Maya Karin, Eizlan Yusof, Aaron Aziz, Shahredza Minhat, Umie Aida, Sharifah Sofia, Datuk Rahim Razali, Liyana Jasmay dan Nas-T.

Secara ringkasnya, filem terbitan Red Communications ini mengisahkan tentang dua gadis 'pisau cukur' iaitu Intan dan Bella (Maya) yang suka 'memburu' lelaki-lelaki yang memiliki kemewahan.

Intan dan Bella yang pergi bercuti di atas sebuah kapal percutian mewah kemudiannya berdepan dengan kisah dan konflik masing-masing.

Bella cuba memikat Datuk Hisham (Eizlan) dan pada masa yang sama gadis itu turut diminati oleh Faqir (Shahredza).

Intan pula terjebak di dalam kes penyiasatan kematian Datuk Zakaria (Rahim Razali) di atas kapal itu bersama dengan seorang penyiasat persendirian, Ari (Aaron Aziz).

Membawakan watak sebagai seorang gadis pisau cukur, Fazura tidak terlepas dengan tanggapan banyak pihak yang mengaitkan dirinya juga tidak jauh berbeza dengan watak tersebut.

"Saya tidak bimbang jika orang cakap saya adalah pisau cukur. Saya malas ambil pusing benda-benda macam itu," ujarnya, ringkas.

Ditanya tentang pengalamannya membintangi filem ini, kata Fazura, dia amat menyukai semua babak yang ada di dalam filem tersebut.

Namun, satu babak yang benar-benar mencabar buatnya ialah ketika adegan yang menunjukkan seolah-olah dia hampir 'dicium' oleh Aaron Aziz.

"Memang susah sangat ketika adegan tersebut. Gementar pun ada juga pada awalnya. Tapi kami asyik ketawa saja sehingga menyukarkan lagi penggambaran untuk babak itu.

"Apapun, pengalaman bekerja dengan semua pelakon terlibat memang menyeronokkan. Malah, saya seronok dapat bergandingan dengan Maya Karin. Kami sama 'kepala' dan senang bekerjasama dengannya," tutur pelakon kelahiran Pekan, Pahang, ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain