suria

Liyana Jasmay selesa bersama 'LJ Band'

Liyana akui lebih berkeyakinan bersama 'LJ Band' - foto ihsan Liyana
Liyana akui lebih berkeyakinan bersama 'LJ Band' - foto ihsan Liyana
Liyana akui lebih berkeyakinan bersama 'LJ Band' - foto ihsan Liyana

PERCATURANNYA mencuba nasib sebagai penyanyi pernah dikritik sesetengah pihak. Ada yang merasakan pembabitan Liyana Jasmay di dalam bidang nyanyian tidak akan ke mana dan tidak kurang juga yang mengatakan pelakon kecil molek ini sebenarnya tidak berbakat sebagai penyanyi.

Namun, bagi gadis berusia 21 tahun ini, dia mengambil semua kritikan itu sebagai satu pembakar semangat untuk melakukan yang terbaik.

Akui Liyana yang tampil dengan single sulungnya, Aku Tak Percaya Cinta tidak lama dulu, dia bukanlah penyanyi profesional dan masih mencari ruang untuk memperbaiki kelemahannya.

Dan langkahnya bergelar penyanyi juga bukanlah sekadar suka-suka. Buktinya, gadis yang baru dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 ini melihat jauh masa depannya di dalam bidang nyanyian dan lantaran itu turut mempunyai band pemuzik sendiri untuk mengiringi setiap kali persembahannya.

Band yang digelar 'LJ Band' oleh Liyana ini terdiri daripada lima pemuzik dan sebenarnya telah bergerak bersama-sama bintang ini sejak April lalu.

"Kalau diikutkan, sejak mula-mula saya keluar dengan single pertama saya dulu, saya sudah bersama-sama dengan mereka.

"Semuanya bermula ketika saya berbincang dengan penggubah muzik saya, AG Coco dan Ajai bagaimana bentuk persembahan saya kelak kerana saya tidak suka buat persembahan menggunakan 'minus one'.

"Kemudian, AG cadangkan ada band sendiri. AG yang menguruskan semuanya dan mencari pemuzik. Tetapi saya juga mengenali mereka ini kerana mereka turut terlibat dalam proses penghasilan album mini saya.

"Jadi, saya sendiri tidak ada banyak masalah dengan mereka kerana mereka sudah tahu lagu-lagu saya dan ianya membuatkan semuanya berjalan dengan mudah," kata Liyana yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Sg.Wang Plaza, baru-baru ini.

LJ Band terdiri daripada AG sendiri (gitar utama), Ari (gitar kedua), Dugong (bass), Qudut (dram) dan Ully (keyboard).

Menurut Liyana, dengan adanya pemuzik-pemuzik ini, ia secara tidak langsung menambahkan keyakinan dirinya tatkala beraksi di pentas.

"Mereka ini adalah orang-orang yang percaya pada bakat saya dan saya sendiri akui rasa lebih yakin bila membuat persembahan bersama mereka. Seronok sebenarnya dapat bekerjasama dengan mereka.

"Dan apa yang penting, bayaran yang saya terima ketika menjayakan persembahan memang akan dibahagi sama rata dengan mereka semua. Saya tidak ambil untung lebih pun.

"Bukannya apa, saya rasa lebih baik begini kerana kami melakukannya bersama-sama dan saya rasa, mereka lebih memerlukan wang itu berbanding saya. Bagi saya, biarlah saya 'susah' dulu sekarang asalkan dapat membantu mereka," tutur anak bongsu daripada empat beradik ini.

Namun, kata Liyana lagi, meskipun band itu sentiasa mengiringi persembahannya, dia bagaimanapun tidak pernah menghalang mereka untuk turut mengadakan persembahan lain juga.

"Saya tidak kisah kalau mereka ingin bermain muzik untuk sesiapa pun kerana saya sedar mereka adalah pemuzik dan mencari rezeki dengan bakat mereka.

"Cuma saya ada beritahu mereka, apa-apapun, saya mahu mereka beri keutamaan kepada saya. Itu saja," ujar duta Maybelline ini.

Ditanya bagaimana respon ibubapanya melihat dia 'dikelilingi' lelaki-lelaki tersebut, dalam nada ceria, Liyana menjawab:

"Ibubapa saya pun sudah mengenali mereka. Mama sendiri cukup ambil berat tentang mereka. Memang kami sudah rasa seperti satu keluarga," katanya.

Dalam pada itu, ujar Liyana, album mininya dijangka akan dipasarkan selepas Hari Raya nanti. Namun, pada masa yang sama, dia juga ada berbincang bersama AG tentang perancangan album kedua kelak.

"Kami hanya berbincang sedikit-sedikit saja. Kalau boleh, untuk album seterusnya nanti, saya ingin hasilkan lirik sendiri. Saya ingin sangat mencuba kerana sejujurnya, saya memang suka menulis tentang apa yang saya rasa," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain