suria

"Bibir saya ori, tak pakai botoks!" - Winnie K

"SAYA tidak pernah memakai botoks! Ini bibir asli saya," kata penyanyi Winnie K.
"SAYA tidak pernah memakai botoks! Ini bibir asli saya," kata penyanyi Winnie K.

"SAYA tidak pernah memakai botoks! Ini bibir asli saya," kata penyanyi Winnie K atau nama sebenarnya Winnie Kok Mui Kuan menepis tohmahan di satu laman Internet bahawa dia memakai botoks untuk mendapatkan bibir gebu.

Sambil mempamerkan bibir kecilnya dan barisan giginya yang tersusun kemas dan rapat, Winnie K berkata, dia tidak mungkin memakai botoks untuk mendapatkan bibir seksi seperti selebriti Hollywood, Angelina Jolie.

"Tidak mungkin. Cuba tengok bibir kecil asli saya ini. Saya tidak sempat memakai gincu hari ini," kata Winnie yang ditemui sejurus selesai segmen 'Selebriti Room Istimewa Merdeka @ Suria FM Breakfast Show', semalam.

Winnie hadir bersama artis Faizal Tahir dan Jaclyn Victor. Deejay pula adalah Bob Ringgo dan Nizam. Segmen selama satu setengah jam tersebut bermula dari 7.30 pagi hingga 9.00 pagi.

Bagi tuan empunya single dan album yang berjudul sama iaitu, 'Kau Ada Di Mana', Winnie mengaku dia sudah terbiasa dengan gosip seperti itu.

"Sekiranya anda seorang artis, anda perlu tahu gosip liar sedemikian adalah asam garam kehidupan kerjaya seni. Saya telah bersedia dan pernah dilanda pelbagai fitnah dan gosip yang lebih dahsyat dari itu.

"Namun, saya percaya masa akan membuktikan segala-galanya. Yang penting kita tidak pernah menggunakannya (botoks)," jelas Winnie.

Sebelum gosip terbaru ini, media tempatan telah memainkan isu kononnya Winnie lebih popular di Indonesia berbanding negara sendiri.

Apatah lagi stesen-stesen radio tempatan di negara kelahirannya sendiri (Malaysia) khabarnya kurang memutarkan lagu 'Kau Ada Di Mana'.

Sedangkan lagu tersebut telahpun popular menerusi drama 'Mertua versus Menantu'yang mana ia menjadi lagu tema. Winnie K juga sebelum ini dikenali dengan panggilan Winnie Kok di kalangan penggemar muzik Malaysia.

"Saya betul-betul terkejut dengan respons positif di situ. Banyak stesen radio dan televisyen Indonesia memainkan lagu saya sama ada di TV Show ataupun persembahan hiburan," katanya yang merupakan artis Malaysia pertama dari keturunan Cina yang melebarkan sayap ke Indonesia.

Sekurang-kurangnya respons positif di negara seberang dapat mengubat duka di hati jelitawan ini yang mempunyai tiga album berbahasa Mandarin setakat ini.

Seolah-olah seperti "melukut di tepi gantang", Winnie menjelaskan itulah puncanya dia lebih banyak menghabiskan masa membuat promosi di Indonesia tahun lalu.

"Tapi, saya tetap yakin kerjaya seni saya akan berkembang di negara saya sendiri. Malah saya teringin mengeluarkan album berbahasa Malaysia kedua saya kelak," kata Winnie yang turut terlibat dalam bidang pengacaraan.

Selain itu, katanya, dia turut pernah menjadi "duta" minuman ringan Pepsi selama tiga tahun bersama penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza.

LAGU dan ALBUM 'Kau Ada Di Mana' merupakan hasil terbitan syarikat rakaman Trinity Optima Productions dari Indonesia. Ia adalah syarikat naungan penyanyi popular Rossa dan band popular 'Ungu'.

Album 'Kau Ada Di Mana' telah berada di pasaran Indonesia sejak Mac 2008 sementara ia menemui penggemar seni tempatan sejak 26 Jun 2008.

Untuk perkembangan terkini, Winnie yang berasal dari Raub, Pahang bakal mengeluarkan satu album berbahasa Mandarin tidak lama lagi. Album terakhir bahasa Mandarin Winnie adalah pada tahun 2003.

Pada masa yang sama, dia masih mempromosikan album bahasa Malaysianya, 'Kau Ada Di Mana' yang membariskan komposer handalan seperti Ajai, Tam Spider, Cat Farish, Audi Mok, Nurul, Dewiq dan Yudis Dwikrano.

Ditanya tentang status perkahwinannya, Winnie memberitahu dia masih membujang selepas gagal dalam percintaan sebelum ini.

"Saya masih menantikan kehadiran Mr. Right. Dia tidak semestinya kacak tapi mesti bertanggungjawab dan yang terpenting,adanya keserasian," katanya yang sering kelihatan keluar dengan kawan baiknya yang juga pemain badminton negara, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Datuk Lee Chong Wei dan Wong Mew Choo.

Artikel Sebelum

Artikel Lain