SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menawarkan diri melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.Anthony berkata, surat peletakan jawatan itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat. Bagaimanapun, keputusan itu hanya melibatkan dirinya sebagai anggota Jemaah Menteri, manakala menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan buat masa ini.Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengadakan perbincangan hampir tiga jam pada petang Sabtu bagi menentukan pendirian parti berhubung isu berkenaan."Sebagai parti, sebagai DAP, kita ada pendirian kita berkenaan dengan isu ini. Kita merasakan ini sesuatu yang sukar diterima."Bukan sahaja oleh DAP, juga oleh rakyat Malaysia. Justeru selepas berbincang, apakah respon dan reaksi daripada parti... setelah tiga jam berbincang dan berbahas."Kita telah mencapai keputusan dan saya telah menawarkan diri saya untuk mengemukakan perletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Perdana Menteri," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP pada Sabtu.Dalam pada itu, Anthony memaklumkan barisan menteri dan timbalan menteri DAP turut bersedia melepaskan jawatan masing-masing sekiranya diperlukan.Namun, CEC memutuskan supaya mereka terus kekal dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan politik negara terpelihara, selain mengelakkan kerajaan pimpinan Anwar kehilangan sokongan majoriti.Menurutnya, DAP juga menyedari terdapat pihak tertentu yang menantikan keputusan parti itu untuk keluar daripada kerajaan, sekali gus berpotensi mencetuskan ketidaktentuan politik atau perubahan pentadbiran.Mengulas lanjut mengenai keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah, Anthony berkata DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.Bagaimanapun, beliau menjelaskan pendirian parti itu bahawa keputusan berkenaan sukar diterima memandangkan tiada peruntukan undang-undang atau duluan yang membenarkan individu disabitkan kesalahan rasuah menjalani hukuman menerusi tahanan di rumah.Anthony turut mengingatkan bahawa skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu kleptokrasi telah menghantui negara sejak sedekad lalu, sehingga mengakibatkan kerugian berpuluh-puluh bilion ringgit.Tegasnya, DAP akan terus mempertahankan prinsip menegakkan kebenaran serta memastikan mereka yang bertanggungjawab atas kesalahan berkenaan menerima hukuman setimpal.