suria

Leya perkenal 'little divas' Aza dan Asha

Leya dan Muhammad Ashraf Aasimudin mendukung permata hati mereka, Aza dan Asha. -foto THE STAR oleh SIA HONG KIAU
Leya dan Muhammad Ashraf Aasimudin mendukung permata hati mereka, Aza dan Asha. -foto THE STAR oleh SIA HONG KIAU
Leya dan Muhammad Ashraf Aasimudin mendukung permata hati mereka, Aza dan Asha. -foto THE STAR oleh SIA HONG KIAU

SETELAH lebih dua bulan melahirkan pasangan bayi kembar Aza Ameena Muhd Ashraf dan Asha Ameena Muhd Ashraf, pelakon dan penyampai radio Hot FM, Sharifah Aleya akhirnya memperkenalkan pasangan bayi comel itu buat pertama kalinya kepada media, semalam.

Dalam majlis pengenalan bertempat di Kelab Sri Damansara itu, Leya menjelaskan sebab-sebab dia tidak dapat memperkenalkan bayi kembarnya kepada media lebih awal walaupun telah habis berpantang.

"Saya ingin menghabiskan masa beberapa minggu yang sangat istimewa itu bersama bayi-bayi kesayangan saya. Lagipun Aza dan Asha dilahirkan pra-matang. Ketika itu mungkin kurang sesuai untuk diperkenalkan kepada media," kata Leya yang turut ditemani suami tercinta, Muhammad Ashraf Aasimudin.

Leya selamat melahirkan bayi kembar perempuan pada jam 11.46 pagi, 27 Jun lalu di sebuah hospital kerajaan.

Dia tidak dapat bersalin secara normal berikutan terdapat beberapa masalah yang menyebabkan terpaksa menggunakan kaedah ceasarean atau bersalin melalui pembedahan.

Doktor menasihatkannya menjalani pembedahan dengan segera untuk mengelakkan sebarang komplikasi ke atasnya dan juga bayi. Bayi pertamanya, Aza yang seberat 1.71 kilogram (kg) itu dilahirkan pada pukul 11.46 pagi, manakala yang kedua (Asha) pula seminit selepas itu dengan seberat 1.98 kg.

Bayi-bayinya itu ditempatkan di dalam inkubator di unit rawatan rapi berikutan dilahirkan seminggu lebih awal daripada tarikh sebenar.

"Apabila saya keluar dari hospital dua hari selepas bersalin, kami terpaksa tinggalkan Aza di hospital. Adalah menjadi polisi hospital tidak membenarkan bayi kurang daripada 1.8 kg untuk keluar dari hospital.

"Pada masa itu, saya perlu berulang-alik dari rumah saya di Sri Damansara ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) setiap hari sehingga Aza boleh keluar.

"Bayi kat rumah pula pandai bermain dengan emosi... terutama ketika keluar dari rumah," ujar Leya sambil mengenangkan detik-detik kepayahannya selepas bersalin. Bagaimanapun, menurut Leya, segala-gala keperitan bergelar ibu amat berbaloi ketika bayi-bayi kesayangan didakap erat dan dibelai dengan penuh kasih sayang.

"Saya masih ingat bagaimana semasa saya menjalankan terapi untuk bayi pra-matang iaitu, 'kangaroo care', Aza telah tahu tersenyum pada hari ketiga," katanya dengan gembira.

'Kangaroo care' ialah terapi yang dilakukan dengan ibu mendakap bayinya pada permukaan kulit seperti di dada selama setengah jam. Difahamkan ia boleh membantu bayi pra-matang membesar dengan cepat.

Sekali pandang, memang sukar untuk membezakan Aza dan Asha kerana wajah mereka yang seiras. Kata Leya, perbezaan hanya boleh dilihat pada 'tanda kelahiran' atau nama saintifiknya 'hemangioma' di pipi sebelah kanan Asha.

Makna nama Aza dan Asha

Ditanya tentang makna nama-nama bayinya, Leya memberitahu, nama Asha berasal dari bahasa Sanskrit yang bermaksud 'harapan'.

"Sementara nama 'Aza' pula diambil daripada nama arwah nenek saya sendiri, iaitu Sharifah Aza Aminah," kata Leya yang juga pelakon filem 'Mukhsin', 'Idola' dan 'Magika'.

Leya mula mencipta nama menerusi filem Idola pada tahun 2002. Dia merupakan anak sulung kepada pasangan Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin al-Yahya dan Fatimah Abu Bakar dan kakak kepada Sharifah Amani, Sharifah Aryana dan Sharifah Aleysha.

Menceritakan lebih lanjut tentang Aza dan Asha, Leya memberitahu: "Kalau saya tidurkan Asha, kena ambil masa yang lebih panjang."

"Aza pula kalau nak tidur, posisi lehernya boleh menjadi seolah-olah 'exhaustive'. Misalnya leher melekat pada bahunya. Kami panik pada masa itu.

"Selain itu, dia (Aza) begitu aktif sampai tali pusat melilit lehernya ketika dalam kandungan. Dan inilah sebabnya saya perlu bersalin melalui pembedahan," katanya. Sementara itu, Leya memberitahu, dia tidak mempercayai orang luar untuk menjaga bayi-bayi perempuannya. Aza dan Asha dijaga oleh ibubapa Leya dan Ashraf sendiri.

Pendek kata, Aza dan Asha disayangi bagai menatang minyak yang penuh. Kata Leya, "Kerana terlalu sayangkan bayi-bayinya, si bapa memotong rambut dan mencukur misai agar mereka tidak menangis terkena rambut ataupun misainya.

"Pernah sekali dia selesema dan batuk, saya melarangnya mendekati Aza dan Asha. Dia terus makan ubat walaupun dia memang tidak suka makan ubat," kata Leya yang sudah mula kembali bekerja.

Sementara itu, Fatimah memberitahu, dua cucunya itu memberikan kepuasan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata kepadanya.

"Satu keistimewaan dua cucu saya ialah mereka akan bersentuhan juga walaupun diasingkan dengan bantal atau dijauhkan," kata Fatimah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain