suria

Putri Mardiana: Kalau ada orang ketiga, biar 'orang sana' yang fikir..

Nana enggan mengiyakan mahupun menidakkan wujudnya orang ketiga yang dikaitkan dengan isu penceraiannya. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Nana enggan mengiyakan mahupun menidakkan wujudnya orang ketiga yang dikaitkan dengan isu penceraiannya. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Nana enggan mengiyakan mahupun menidakkan wujudnya orang ketiga yang dikaitkan dengan isu penceraiannya. -foto mStar oleh SITI AZIRA

WAJAHNYA tenang dan hanya tersenyum saat disapa namun dalam hati yang digelodak perasaan sedih dan pilu, siapa yang tahu.

Bagi aktres baru, Putri Mardiana Zainal Abidin, 28, atau lebih mesra dengan panggilan Nana ini, biarlah segala cerita antara dia dan bekas suami, Shahnaz Norwawi, 32, yang sepatutnya disimpan menjadi rahsia antara mereka berdua.

Mardiana dan Shahnaz telah sah bercerai talak satu selepas diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selasa lalu.

Lantas, apabila alasan wujudnya orang ketiga dikaitkan dengan isu penceraian mereka, Mardiana enggan mengiyakan mahupun menidakkan.

Katanya, “Saya tak nak aibkan sesiapa. Kalau ada orang ketiga, biar orang sana (Shahnaz) yang fikir dan samada ada atau tidak biar kami berdua saja yang tahu.

“Saya tak nak buka pekung di dada.”

Jika dalam laporan media semalam, Mardiana dilihat kurang bercakap kerana menurutnya dia tidak mahu memanjangkan cerita dan hanya inginkan kes penceraian ini berakhir dengan cepat.

“Lafaz taklik dia ada niat lain tetapi saya lebih suka berdiam diri dalam mahkamah.

“Saya hanya berserah kepada Allah. Saya tiada peguam kerana tak nak kes ini berpanjangan dan aibkan kedua-dua pihak,” ujarnya.

Tambah Mardiana, “Perkara ini sekejap sahaja berlaku, macam baru semalam sahaja dia melafazkan taklik dan perkara ini mengambil masa juga untuk saya tempuhi tetapi dalam hati siapa yang tahu.

“Sebelum saya membuat keputusan ini, saya hanya berserah kepada Allah dan mendapatkan sokongan orang tua dan saudara-mara.

“Perpisahan ini bukan atas paksaan sesiapa tetapi atas kerelaan hati sebab dah lama saya pendam.”

Dalam nada kecewa, ibu kepada tiga orang cahayamata ini menjelaskan sedikit-sebanyak tentang situasi sebenar yang berlaku.

“Enam bulan tahun lalu bukannya saya tak balik langsung kerana saya ada juga melawat dan jaga anak.

“Selepas itu, saya nak balik kepada dia demi anak-anak dengan cuba perbaiki hubungan kami tetapi selepas itu tak baik juga. Jadi, lebih baik putuskan hubungan ini.

“Dalam masa dua bulan itu, dia langsung tiada inisiatif untuk berbaik dan kami juga tidak berkomunikasi.

“Kami bercerai pun sebab pertengkaran kecil dalam sebulan lebih. Semasa malam selepas dia melafazkan cerai taklik (1 Jun 2009), ibu saya tak masuk campur dalam hal itu tetapi sebab kebetulan dia berada di Kuala Lumpur.

“Dia cuba berbaik dengan saya pada malam tu dan pagi esoknya saya berbaik dengan dia pun hanya lakonan semata-mata.

“Perkara itu berlaku semasa saya sedang menjalani pengambaran filem ‘Santau’.

“Macam mana saya nak bekerja sedangkan saya buat semua ini untuk bantu kewangan dan anak-anak tetapi disalahertikan.

“Saya minta izin dia dan dia izinkan dengan beberapa syarat yang dipersetujui bersama.”

Anak-anaknya iaitu Alia Wirdani, 6, Amir Firman, 4, dan , Airell Zuhair, 3, kini berada dalam jagaan bekas suaminya.

Menurut Mardiana, dia akan berhubung dengan Shahnaz melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) jika mahu berjumpa dengan anak-anaknya.

“Mengenai penjagaan anak-anak, saya belum bincang lagi dengannya dan saya akan berbincang secara baik dengannya di luar (mahkamah) nanti,” kata wakil tunggal negara yang memenangi pingat emas dalam kategori lakonan di Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) di Hollywood, California, Amerika Syarikat ini.

Bercerita tentang perancangan masa depannya, Mardiana berkata dia akan menumpukan kepada karier lakonan yang baru diceburinya pada tahun ini.

“Alhamdulillah, banyak rezeki yang saya dapat sekarang ini. Sekarang, saya sedang berlakon drama ’43 Karat’ untuk slot Samarenda di TV3 dan selepas ini akan sambung dengan drama ‘Mama Murai’ untuk Astro Warna.

“Saya juga terlibat dengan pengambaran telefilem raya ‘Uda Dan Dara’,” jawabnya yang pertama kali berlakon menerusi filem ‘Santau’ yang akan ditayangkan pada 10 Disember depan di pawagam.

Baru sahaja menceburi bidang ini, isu penceraiannya telah memberikan kesan kepadanya dalam industri seni hiburan tanah air.

Jelas Mardiana, “Ada perkara baik dan buruk yang menimpa diri saya tetapi saya masih mampu untuk mengawal situasi yang dihadapi sekarang.

“Isu menyesal tak pernah ada kerana setiap keputusan yang saya lakukan menggunakan akal yang waras dan sesuai dengan prinsip.

“Kepada semua, jangan ‘judge’ saya melalui kehidupan peribadi sebab setiap orang ada kehidupan masing-masing.

“Saya sudah menerima pengajarannya dan berharap mereka mengambil yang positif seperti kerjaya dan mengkritik lakonan saya.

“Isu ini baru sahaja berlaku dan lama-lama orang akan letih juga tetapi saya tak mampu nak tutup mulut orang dari bercakap perkara buruk tentang saya.”

Bercerita mengenai drama ‘Mama Murai’ Mardiana akan melakonkan watak Liza, anak sulung Mama Murai atau Saodah lakonan Kartina Aziz.

Liza berusia hujung 20-an, nampak lembut dan baik hati tetapi hipokrit dan mengadakan hubungan sulit dengan bos sendiri.

Ditanya tidakkah kes cerainya memberikan kesan kepada lakonannya nanti, Mardiana menjawab:

“Kes ini memang memberikan kesan dalam diri saya seperti badan kurus dan makan hati. Sekarang mungkin orang tak nampak sebab saya berada bersama orang lain tetapi kesan itu akan mengganggu apabila saya duduk seorang diri.

“Tetapi untuk lakonan, ia tidak menganggu konsentrasi saya kerana apabila di lokasi secara automatik saya akan tumpukan pada 'mood' lakonan.”

Artikel Sebelum

Artikel Lain