suria

Rosyam nafi Zulin peserta kegemaran 'Pilih Kasih'

Zulin Aziz didakwa peserta kegemaran Rosyam dalam 'Pilih Kasih'.
Zulin Aziz didakwa peserta kegemaran Rosyam dalam 'Pilih Kasih'.
Zulin Aziz didakwa peserta kegemaran Rosyam dalam 'Pilih Kasih'.

SETIAP kali minggu penyingkiran, peserta ‘Pilih Kasih’ bernama Zulin Aziz selalu terselamat sehingga digelarkan peserta kontroversi.

Bayangkan, pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz ini sudah enam kali tidak jadi disingkirkan walaupun markahnya selalu berada di kedudukan terendah.

Disebabkan faktor itu, timbul dakwaan yang mengatakan Zulin merupakan peserta kegemaran ‘pemegang veto’ Rosyam Nor.

Ada yang mengatakan Rosyam memang benar-benar ‘pilih kasih’ dalam soal memilih peserta yang diinginkan dalam program terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. itu.

Zulin bagaikan sudah dirancang untuk bertahan sehingga ke peringkat akhir ‘Pentas Pilih Kasih’.

Namun begitu, pelakon popular filem dan drama ini menafikan dakwaan itu.

“Saya langsung tiada ‘favouritisme’ kerana saya mencari bakat tetapi peserta yang berada di tangga 3 terbawah, saya perlu pilih siapa yang saya nak buang.

“Zulin terselamat pun sebab persembahan dia,” kata Rosyam.

Rosyam juga enggan membuat penilaian mengenai peserta yang dijangka akan meraih gelaran juara walaupun ada yang meramalkan pelakon wanita lebih hebat daripada peserta lelaki.

“Saya tak boleh beritahu sekarang dan tunggu sahaja pada malam Ahad ini,” jawab Rosyam ringkas sambil tersenyum.

Dalam pada itu, Zulin yang mendengar komen daripada Rosyam itu berkata dia masih belajar dan lakukan yang terbaik.

Lantas dia berjanji untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri sebelum bertempur di peringkat akhir program yang telah mencapai rating 2 juta pada setiap minggu itu.

“Ramai yang cakap saya stereotaip dan Abang Rosyam pernah cabar saya untuk menangkis cakap-cakap orang itu.

“Saya dah buat yang terbaik. Jadi, mulai sekarang hingga malam final nanti saya akan cuba pasang beberapa strategi untuk menjadi juara,” ujar peserta berusia 20 tahun ini.

Gelaran kelihatan seperti salah seorang pelakon hebat, Ellie Suriati juga dikaitkan dengan diri Zulin.

Lakonan dan gerak-gerinya dikhabarkan mempunyai mirip Ellie.

“Saya tak nak orang nampak saya terlalu stereotaip dan mimik muka sama dengan Ellie Suriati.

“Saya akan cari diri-sendiri semasa berlakon dan cuba serap semua kritikan,” jelasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain